HomeBeritaPolitikKJ bersedia selesaikan masalah penduduk Sungai Buloh

KJ bersedia selesaikan masalah penduduk Sungai Buloh

CYBERJAYA: Setelah memegang tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Rembau, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau bersedia menggalas tanggungjawab menyelesaikan masalah penduduk di Sungai Buloh.

Beliau sebagai Calon BN Parlimen Sungai Buloh bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkongsikan sebab beliau bertanding di kawasan itu, melalui video di Instagramnya hari ini.

Menurutnya, Rembau merupakan kawasan yang terdiri daripada kampung dan pinggiran bandar, serta beliau telah membuat yang terbaik sebagai wakil rakyat untuk membangunkan Rembau.

“Jadi setelah saya jaga kawasan kampung selama tiga penggal, saya bersedia untuk cabaran baru, saya ingin datang ke bandar, berjuang untuk anda dan berjuang untuk kawasan bandar.

“Sungai Buloh adalah kawasan yang memerlukan tawaran baru untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi orang bandar.

“Demografi Sungai Buloh hampir mirip dengan komposisi kaum seluruh Malaysia, ini benar-benar kerusi Malaysia dan saya sentiasa bercita-cita untuk menjadi pemimpin untuk semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya, perjuangannya adalah untuk semua, tidak kira kaum, agama atau latar belakang, bagi menjaga dan membantu semua yang memerlukannya seperti mana usaha kerajaan memberi vaksin untuk menyelamatkan semua penduduk Malaysia dari COVID-19.

Tambahnya, sekarang Malaysia sudah mencapai 77 peratus kadar urbanisasi, dan beliau tahu di kebanyakan kawasan bandar, BN tidak menjadi pilihan pengundi.

Justeru, beliau melihat cabaran ini sebagai satu langkah mengubah BN ke arah yang lebih baik dengan berani menawarkan khidmat mereka di kawasan bandar.

“Kita tidak boleh sekadar menjadi wakil luar bandar Malaysia, kita perlu mewakili seluruh Malaysia dan berani menawarkan perkhidmatan di bandar.

“Bila kita mewakili orang bandar, polisi kita juga akan lebih mengambil kira isu yang dihadapi oleh majoriti rakyat Malaysia iaitu penduduk kawasan-kawasan bandar.

“Ini bukan menidakkan pembangunan di kawasan luar bandar atau pedalaman, itu tetap sangat penting. Tetapi jangan kita anggap semua yang duduk di bandar ini senang, kehidupan di bandar mencabar.

“Dengan isu-isu seperti kos sara hidup, kos perumahan, akses ke klinik kesihatan, kesesakan trafik, pengangkutan awam, banjir kilat isu alam sekitar, dan macam-macam lagi yang saya akan memberi cadangan penyelesaian dalam Manifesto Sungai Buloh beberapa hari lagi nanti,” katanya lagi.

Beliau berharap untuk dapat berjumpa rakyat di Sungai Buloh semasa kempen nanti bagi memberi beliau peluang membawa suara mereka dan bekerja keras untuk mereka dengan jelas dan lantang ke Parlimen seperti mana yang dibuatnya untuk orang Rembau.

Author

Pilihan Editor