KUALA LUMPUR: Masyarakat peneroka Felda pastinya menjadi sasaran parti politik memikat pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Parti-parti itu tahu bahawa 1.5 juta pemilih ini daripada 21.17 juta pada PRU15 boleh menjadi bank undi.
Mendekati peneroka ini bukan semudah seperti yang dianggap kerana mereka tersebar di 317 skim penempatan semula di seluruh negara.
Bagaimanapun, setiap undi mereka dilihat penting kerana 54 daripada keseluruhan 222 kawasan Parlimen di negara ini mempunyai rancangan Felda, dengan Pahang dan Negeri Sembilan mempunyai keluasan lebih besar.
Mengikut kawasan pilihan raya, Jempol di Negeri Sembilan dan Rompin, Bera, Jerantut dan Paya Besar di Pahang mempunyai jumlah peneroka Felda yang ramai.
Masyarakat Felda juga banyak terdapat di kawasan Hulu Selangor (di Selangor), Lahad Datu (Sabah), Kubang Pasu dan Padang Terap (Kedah), Tanjung Malim (Perak), Gua Musang (Kelantan) dan Kota Tinggi, Kulai serta Sembrong (Johor).
Kebanyakan penempatan Felda terletak di kawasan luar bandar yang majoriti pengundinya adalah Melayu.
Felda, atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, telah dimulakan pada 1950-an oleh Tun Abdul Razak Hussein, yang kemudian menjadi perdana menteri kedua, untuk memperbaiki keadaan sosial dan ekonomi masyarakat luar bandar yang dilanda kemiskinan.
Badan tersebut telah berkembang pesat sejak 66 tahun yang lalu dengan memainkan peranan besar dalam pembangunan peneroka, yang kebanyakannya kini memasuki generasi keempat.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sudah pasti warga Felda akan memilih parti yang berupaya memberi mereka kehidupan yang lebih baik.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang cerah untuk kembali memenangi hati pengundi Felda berdasarkan rekod cemerlang parti itu yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengangkat taraf hidup peneroka.
“Bagi saya, pengundi Felda masih lagi menjadi deposit tetap BN meskipun pada PRU yang lalu kita lihat seolah-olah ada separuh daripada kawasan Felda itu menolak BN,” kata Mohammad Tawfik yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya itu kepada Bernama.
Beliau berkata pada pilihan raya kali ini, pemilih Felda akan menilai semula sumbangan dan jasa BN serta tidak mustahil mereka akan mengangkat semula gabungan parti berkenaan atas faktor yang dicapai oleh peneroka sejak generasi pertama iaitu bermulanya dengan pembukaan tanah yang ini juga adalah hasil tangan BN menerusi legasi serta perjuangan kepimpinan parti terdahulu termasuk Tun Abdul Razak.
Sejak pilihan raya pada 1970-an, masyarakat Felda menjadi bank undi dan deposit tetap BN dalam mengekalkan kemenangan yang membolehkan parti itu membentuk kerajaan Persekutuan.
Namun dengan perubahan landskap politik pada PRU14, tanah rancangan itu tidak lagi menjadi deposit tetap BN, susulan parti itu hanya memenangi 26 daripada 54 kerusi berbanding 48 kerusi yang dimenangi pada PRU13 serta 46 kerusi pada PRU12.
Mohammad Tawfik berkata, meskipun komuniti Felda ketika ini disifatkan lebih terbuka terutamanya dalam kalangan generasi mudanya, namun pada asasnya sokongan mereka kepada BN masih utuh.
“Mungkin generasi ketiga atau golongan muda Felda lebih terbuka (mengundi). Mereka ini ada yang bekerja dan belajar di luar, jadi pandangan mereka terhadap kerajaan yang memerintah juga berubah… seperti PRU14 pada 2018.
“Namun untuk pilihan raya kali ini mungkin ada yang tidak lagi terpengaruh dengan politik persepsi, dan sekarang ini pun tidak ada lagi isu besar mengenai Felda yang boleh diketengahkan sebagai senjata berkempen. Bagi saya, apabila golongan muda melihat apa kemajuan yang ada di depan mata mereka, pastinya mereka akan kembali kepada pentadbiran asal,’’ tambah Mohammad Tawfik.
Generasi kedua Felda yang mahu dikenali sebagai Mohd Faizul, 40, berkata penduduk Felda mahukan kerajaan yang stabil memerintah kerana tidak mahu menghadapi ketidaktentuan ekonomi sehingga menyebabkan ramai generasi kedua Felda hilang pekerjaan.
Bapa kepada seorang anak itu berkata akibat daripada pertukaran kerajaan pada 2018, beliau yang berkhidmat lapan tahun secara kontrak dalam agensi kerajaan terpaksa berhenti kerja kerana agensi tersebut ditutup.
“Selepas itu saya balik ke kampung, tolong keluarga menguruskan sawit tetapi harga menjunam. Memang sangat susah kehidupan ketika itu, ditambah pula dengan kemunculan pandemik COVID-19.
“Saya sudah mengundi PRU ini sebanyak empat kali. Kami mahukan perubahan hidup yang menyeluruh. Saya harap sistem hiliran perladangan sawit dapat dibuat secara besar-besaran agar taraf hidup masyarakat Felda ini ditingkatkan,” katanya yang berasal dari Felda Lui Barat, Jempol, Negeri Sembilan.
Pandangan senada turut disuarakan Ketua Kampung Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang, Md Zulkifle Md Yunos, yang menyifatkan golongan peneroka sebagai tidak keterlaluan atau ‘cool’ dalam berpolitik, namun tahu apa yang dimahukan iaitu sebuah kerajaan yang stabil dan konsisten dengan nasib serta kebajikan mereka.
“Kita mahu melihat sebuah kerajaan yang boleh menunaikan janji dan bukan yang hanya berjanji tapi akhirnya tiada apa. Kami juga memerhati dan melihat layanan kerajaan terhadap peneroka. Keutamaan juga pasti kepada mereka yang boleh menjamin kestabilan politik negara.
“Bila negara stabil, ekonomi bertambah baik. Jika tidak, selaku rakyat, golongan peneroka juga terkesan terutamanya apabila harga kelapa sawit tidak stabil,” katanya.
Md Zulkifle berkata ketidakstabilan politik selepas pilihan raya umum tahun 2018 juga membolehkan peneroka menilai pengalaman berada di bawah tiga pentadbiran negara, yang boleh menjadi penentu undi kepada pengundi tanah rancangan pada PRU15.
Peneroka juga, menurut Md Zulkifle, mahu mengetahui rancangan pihak berkaitan terhadap masa hadapan peneroka Felda, mengambil kira penduduk di Felda Lurah Bilut, yang merupakan tanah rancangan pertama negara kini sudah memasuki generasi kelima.
Peneroka Felda Chini di Pekan, Hasnah Abdul Ghani, 63, pula mengakui dirinya tidak berminat untk mendengar janji manis parti politik kerana dirinya sudah mempunyai ‘pegangan sendiri’ namun tidak menghalang mana-mana pihak untuk membuat pilihan yang dirasakan terbaik untuk diri mereka.
“Saya orang lama. Dari tahun 1983 sudah masuk tanah rancangan. Kehidupan pada masa itu susah, tetapi semakin lama semakin baik dan hasil sawit ini yang membesarkan lapan anak. Itu pada saya, adalah bukti apa yang dilakukan kerajaan untuk membantu orang seperti saya,” katanya.
Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) untuk pembangunan tanah dan penempatan semula di bawah ‘Group Settlement Areas’ atau Akta 530 dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman sawit dan getah.
Antara fungsi Felda adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian, komersial dan sosial ekonomi. – BERNAMA