HomeBeritaPolitikManifesto BN akan dibentang tidak lama lagi, tumpu isu Puchong - Syed...

Manifesto BN akan dibentang tidak lama lagi, tumpu isu Puchong – Syed Ibrahim

PUCHONG: “Banyak manifesto saya akan menyentuh isu Puchong,” kata Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Syed Ibrahim yang juga merupakan Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) berkata, kekurangan yang terdapat di kawasan Parlimen Puchong serta isu yang gagal diselesaikan wakil rakyat Pakatan Harapan sejak tahun 2008 akan dibawa dalam manifesto tidak lama lagi.

“Perkara yang BN ingin bawa sekiranya mendapat mandat rakyat pada PRU15 adalah isu-isu masalah penduduk setempat yang gagal diselesaikan wakil rakyat di bawah Pakatan Harapan (PH) seperti banjir kilat, meneruskan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) memandangkan harga rumah begitu tinggi di sini.

“Mereka yang berpendapatan RM1,500 tidak mampu membeli rumah di sini mengikut pasaran RM150,000 hingga RM200,000. Golongan B40 dan M40 di Puchong terpaksa menyewa rumah dengan kos yang tinggi pada setiap bulan.

“Selain itu, masalah kekurangan pekerja asing bagi menampung keperluan syarikat di kawasan Puchong. Ini akan dimasukkan dalam manifesto, saya sudah ada perancangan. Akan diumumkan setelah BN peringkat nasional selesai umum manifesto pada malam Isnin,” katanya kepada MEDIA VARIASI selepas sesi walkabout calon BN Parlimen Puchong di Tapak Pasar Malam Seri Serdang pada Isnin.

Mengulas mengenai kempen pencabarnya dari Pakatan Harapan, Yeo Bee Yin yang meminta pengundi Puchong mengekalkan mandat kepada PH pada PRU15 untuk menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas, beliau yakin pengundi Puchong tidak akan terpedaya dengan janji kosong calon itu setelah gagal diselesaikan sejak memerintah tahun 2008 lagi.

“Masalah kesesakan lalu lintas mengambil masa paling kurang sejam yang terpaksa dihadapi penduduk Puchong. Ini isu gagal diselesaikan wakil rakyat PH, jadi saya tidak faham bagaimana calon DAP ini meminta diberikan peluang sekali lagi untuk menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas. Apa mereka buat ketika memerintah sejak tahun 2008?” soalnya.

Author

Pilihan Editor