CYBERJAYA: Baru-baru ini tular di media sosial berhubung ketidakpuasan orang awam dengan segelintir bank yang tidak menerima penukaran wang rosak atau koyak.
Ketidakpuasan hati itu disuarakan oleh seorang pengguna akaun Facebook yang dikenali sebagai CH Zeeta.
Dalam satu hantarannya di Facebook, dia menyeru pihak Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memberi penjelasan mengenai sikap segelintir cawangan bank yang tidak menerima penukaran wang rosak.
Katanya, tindakan segelitir cawangan bank yang meminta orang ramai untuk membuat penukaran wang di BNM adalah satu hal yang tidak munasabah atas faktor lokasi jauh.
Hantaran CH Zeeta itu mendapat perhatian pihak BNM yang menyatakan bahawa penukaran wang rosak atau koyak sewajarnya dilaksanakan di seluruh cawangan bank di Malaysia.
“Sepatutnya perkara itu tidak berlaku.
“Sila berikan butiran mengenai bank tersebut (nama bank dan cawangan, nama pegawai serta tarikh) kepada kami menerusi bnm.gov.my/LINK atau hubungi 1-300-88-5465 untuk perhatian dan tindakan kami,” tulis wakil BNM di ruangan komen CH Zeeta.
Meskipun penjelasan diberikan BNM ringkas, namun amat berguna buat individu yang mengalami masalah berhubung isu berkenaan.