HomeGaya HidupNasi ambeng diisytihar makanan warisan Selangor

Nasi ambeng diisytihar makanan warisan Selangor

CYBERJAYA: Nasi ambeng kini diisytiharkan dan diwartakan sebagai Makanan Warisan Negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tujuan pewartaan itu dilaksanakan bagi memberi ketetapan ciri-ciri elemen nasi ambeng yang asli dan berasal dari Selangor.

Menurutnya lagi, pengisytiharan itu dibuat bagi memartabat dan memastikan kelestarian nasi ambeng sebagai salah satu makanan warisan yang terdapat di Selangor.

“Proses bagi pewartaan nasi ambeng telah bermula semenjak tahun 2021 dan dimulakan dengan kajian sumber bertulis dan kajian lapangan, kemudian disusuli dengan Bengkel Meja Bulat yang dihadiri oleh para pengusaha nasi ambeng dari lima daerah yang popular dengan hidangan ini iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Hasil daripada perbincangan tersebut telah memberikan satu kata putus bagi menghasilkan ciri-ciri nasi ambeng Selangor yang kemudian diwartakan sebagai Makanan Warisan Selangor,” katanya seperti dilapor Astro Awani pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengisytiharkan secara maya nasi ambeng sebagai makanan warisan Selangor di Sepang pada Sabtu malam.

Nasi ambeng merupakan sejenis makanan tradisional masyarakat Jawa yang kebiasaannya dihidangkan semasa kenduri seperti tahlil dan doa selamat.

Nasi ambeng merangkumi nasi putih yang dihidangkan bersama dengan lauk seperti ayam, sambal goreng Jawa, serunding kelapa dan mi goreng.

Menariknya, sajian berkenaan dihidangkan di dalam talam dan kebiasaanya dikongsikan bersama-sama oleh tetamu.

Mengikut tradisi masyarakat Jawa, ketua keluarga yang menghadiri majlis tersebut akan menjamah sedikit nasi berkenaan sebelum ia dibahagikan dan dibawa pulang sebagai berkat kepada ahli keluarga di rumah.

Keunikan cara nasi ambeng dihidangkan ini menjadikannya menu tradisi yang bukan hanya enak malah mempunyai nilai falsafah yang tersendiri seperti kesepakatan dan perpaduan antara ahli masyarakat.

Bagi ciri-ciri nasi ambeng tradisional Selangor, ia perlulah mengandungi nasi putih, ayam masak semur, mi goreng, ikan masin, serunding kelapa, sambal goreng dan rempeyek.

Author

Pilihan Editor