ALOR SETAR: Ulama terkenal di Kedah, Tuan Guru Abdul Hamid Ismail atau dikenali sebagai ‘Pak Su Mid Kuala Nerang’ meninggal dunia akibat sakit tua, petang Jumaat.
Berita kematian ulama berusia 96 tahun itu, dikongsikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi hantaran di Facebook milik beliau kira-kira 7 malam semalam.
“Telah menghadap PENCIPTA ‘Permata Bumi Kedah’ sebentar tadi. Semoga rohnya dihimpunkan bersama para anbiya dan orang-orang soleh,” tulis beliau dengan menyertakan gambar ulama itu.
Turut berkongsi berita sedih itu di Facebook ialah Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, yang juga bekas Menteri Besar kedah.
“Terima berita sedih, Tok guru Paksu Mid Kuala Pai, Bukit Tembaga telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi… Semoga rohnya dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar berkata, ulama itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, kira-kira 6 petang semalam.
“Saya difahamkan Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua selepas lama dikhabarkan tidak sihat. Jenazah sudah dibawa pulang ke rumahnya di Kuala Pai, Bukit Tembaga, Kuala Nerang dan dijangka dikebumikan esok (Sabtu) pagi,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi. – BERNAMA