KUALA LUMPUR: Calon BN di Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader menegur pemimpin PAS dari Perikatan Nasional (PN) agar tidak menggunakan agama untuk mengugut rakyat mengundi mereka.
Beliau berkata, adakah pemimpin PAS itu memberi maksud jika mahu masuk syurga hanyalah dengan mengundi PN sahaja.
“Jangan ugut orang ramai guna modal agama, ia bukan cara betul raih undi orang ramai, banyak lagi cara raih undi tetapi bukan dengan cara ini.
“Siapa mereka mahu ambil alih kuasa Allah, tahu syurga neraka seseorang?
“Jangan ambil alih kuasa Tuhan, ia tidak betul dalam agama Islam,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS SIK, Kedah, Mohd Shahiful Mohd Nasir pada 10 November lalu bahawa sesiapa undi BN dan PH akan masuk api neraka.
Kenyataan beliau bukan sahaja menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam namun ia adalah doktrin palsu yang sewajarnya dikenakan tindakan Jabatan Agama Islam Kedah.
Rata-rata netizen menyelar adakah PAS berlagak Tuhan menentukan syurga neraka kepada sesiapa sahaja.
Tiada siapa yang mengetahui syurga neraka dengan lebih mendalam melainkan Allah SWT, itu kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Shahiful.
Menurutnya, tidak harus dikatakan bahawa seseorang itu akan dimasukkan ke neraka melainkan bagi seseorang yang disebut secara jelas di dalam nas Al-Quran atau hadis seperti Firaun dan Abu Lahab.
Ini kerana, kita tidak tahu secara pasti apa yang terkandung di dalam hatinya sama ada iman atau kufur.
Yang kedua, kita tidak tahu apa akan berlaku terhadap seseorang pada penghujung hayatnya di dunia ini.
Kemungkinan seorang kafir pada masa kini akan mengakhiri kehidupannya di dalam keimanan, begitu juga sebaliknya. Dalam erti kata lain, kesudahan nasib setiap manusia terletak di tangan Allah SWT.
Dalam pada itu, Wan Salim berkata, tindakan mengkafirkan seorang Muslim dengan sewenang-wenang adalah satu isu yang amat serius dan perlu dihindari.
Perbuatan itu merupakan sejenis pencerobohan ke atas kehormatan seorang Muslim yang dilarang dalam syariat Islam kerana akan memberi kesan buruk dalam memecahbelahkan masyarakat Islam selain menimbulkan suasana huru-hara dalam negara.
Polis dilaporkan memulakan siasatan terhadap kenyataan pemimpin PAS mengenai pengundi “masuk api neraka” sekiranya memilih Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, berbanding Perikatan Nasional, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurut laporan China Press, perkara itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.