PUTRAJAYA: Satu laporan polis telah dibuat mengenai dakwaan pengundi luar Parlimen Putrajaya akan menerima bayaran RM300 daripada Barisan Nasional (BN) seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Calon BN Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, laporan polis dibuat semalam berhubung tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah berkenaan.
“Itu adalah satu fitnah yang dilemparkan dan saya tidak buat begitu. Saya harap sesiapa yang ingin bertanding (pada Pilihan Raya Umum ke-15) jangan main fitnah sembarangan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.
Beliau menegaskan BN serta dirinya tidak memberi sebarang bayaran kepada pengundi kerana ia melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Semalam, tular mesej menerusi WhatsApp yang meminta pengundi luar Parlimen Putrajaya mengisi borang tuntutan perjalanan untuk mendapatkan wang RM300.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan kes dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan menyekat pautan borang tuntutan perjalanan supaya tidak ditularkan.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin yang turut meninjau proses undi awal di lokasi itu berkata, PN akan menyediakan pengangkutan pada hari pengundian Sabtu ini bagi memastikan peratusan keluar mengundi di Putrajaya tinggi. – BERNAMA