HomeBeritaPeniaga Pasar Seri Kembangan harap Syed Ibrahim mampu bantu mereka

Peniaga Pasar Seri Kembangan harap Syed Ibrahim mampu bantu mereka

SERI KEMBANGAN: Peniaga-peniaga Pasar Seri Kembangan berharap calon BN Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mampu membantu mereka dalam menghadapi masalah naik taraf pasar itu yang akan menyukarkan urusan mereka.

Ketua Publisiti Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Serdang, Tan Kok Chin berkata kepada MEDIA VARIASI, masalah yang dihadapi peniaga di pasar pagi itu berpunca daripada projek naik taraf kerajaan PH.

Menurut beliau, projek naik taraf pasar pagi di bawah kerajaan PH itu akan memindahkan kedudukan pasar itu yang hanya akan menyusahkan lagi para peniaga.

Tan

“Kebanyakan peniaga di sana ada pendapat dan cadangan yang lain, sebab memindahkan pasar itu bukan senang, jangka waktu projek pun saya rasa dalam dua tahun.

“Tempat baharu yang dipindahkan itu tak sesuai, kalau kita tengok, gerai tak sesuai, saya rasa itu akan menyebabkan masalah pengangkutan.

“Saya cadangkan, malah peniaga pasar mencadangkan, kalau tidak, mungkin kita boleh buat satu gotong-royong besar, kita ada satu rancangan, pelan untuk jangka masa yang pendek mungkin dua minggu,” katanya pada Isnin.

Jelasnya, projek menaik taraf pasar pagi itu biarlah secara sederhana seperti bergotong-royong membersihkan pasar demi mengambil kira keadaan nasib hidup para peniaga.

“Saya rasa itu yang penting sebab sekarang bukan senang bagi peniaga gerai, kehidupan pun susah, mereka nak berniaga pun tak senang sangat.

“Jadi kalau kita buat satu perubahan dalam jangka masa yang begini pun kurang sesuai. Jadi kita cadangkan, kalau boleh janganlah buat pembinaan yang mencanak sangat, mungkin buat perubahan sedikit,” katanya yang menyuarakan pendapat para peniaga dan mahu membantu mereka.

Tan ketika ditemui sedang membuat ceramah dan ‘walkabout’ bersama-sama dengan Syed Ibrahim di Pasar Malam Seri Kembangan pada malam itu.

Terdahulu, beliau mengumumkan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah gabungan pertubuhannya memberikan sokongan kepada calon BN untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita memang berharap sangat dengan calon ini, sebab ini sudah tiga penggal di bawah kerajaan negeri PH, kita nampak tak ada banyak perubahan, sebab perubahan besar yang terakhir adalah pada 2008 iaitu di bawah kerajaan BN.

“Tiga penggal ini tak banyak perubahan, yang kita cuma nampak pembangunan komersial yang sebegini banyak.

“Kita harap sangat kalau calon BN ini berjaya, boleh fokus selesaikan masalah rakyat warga di Seri Kembangan ini,” ujar Tan lagi dengan penuh harapan.

Author

Pilihan Editor