HomeBeritaPeniaga Puchong menyesal undi PH, disepak macam bola

Peniaga Puchong menyesal undi PH, disepak macam bola

PUCHONG: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna, pengundi muda pertama kali mengundi, fikirlah ‘masak-masak’ sebelum buang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jika tidak mahu kecewa lagi.

Anak muda yang juga peniaga di Taman Puchong Permai, Puchong di sini, Nurul Fatihah Mazlan, meluahkan penyesalan kerana pengundi di Parlimen Puchong memilih parti dan pemimpin ‘hit and run’ pada pilihan raya lalu, sudah menang ghaib pula.

Ibarat disepak seperti bola, Fatihah, 28, yang mengambil alih perniagaan pisang goreng warisan keluarganya, ditolak ke sana ke sini bersama borang rayuan meniaga kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang dipayungi Pakatan Harapan (PH).

Dia dan 30 peniaga lain merayu agar tidak dirobohkan tapak niaga di bulatan Puchong Permai mereka, yang tidak mengganggu laluan pun dan diusahakan berpuluh tahun.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga anak itu amat kecewa dengan tindakan pihak MBSJ mahu menutup periuk nasi penduduk tempatan khususnya orang Melayu.

“Saya sangat kecewa dengan parti (PH) sebelum ini, janjikan macam-macam pada peniaga PRU14, tetapi bila dah menang, kami disepak macam bola.

“Ke sana, ke sini, merayu kepada majlis untuk berniaga, padahal sebelum ini (kerajaan Barisan Nasional), elok sahaja kami berniaga tanpa gangguan.

“Lagipun, kami memang patuh kepada semua prosedur, setiap tiga bulan memperbaharui lesen niaga, dapatkan suntikan typhoid, tetapi akhirnya, tetap nak roboh, nak tutup periuk nasi kami,” katanya.

Peniaga di 30 gerai kecewa MBSJ mahu robohkan gerai mereka seminggu sebelum PRU15

Dia ditemui pada sidang media tergempar perobohan 30 gerai peniaga Melayu oleh MBSJ, pada Rabu.

Sidang media disampaikan oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader ketika mengadakan kunjungan ke lokasi terbabit .

Turut serta dalam program kempen calon, Ketua Wanita UMNO Bahagian Puchong, Hasnah Dain; Pengerusi BN Puchong, B Awtar Singh dan Tok Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Persekutuan Batu 12 Puchong, Ismail Awang.

Nurul Fatihah juga menyeru kepada golongan anak muda yang mahu berniaga di Puchong supaya tidak lagi salah memilih parti jika tidak mahu dilayan seperti bola.

“Saya meniaga sebulan di kawasan baru di Dataran Puchong Permai, 10 kilogram pisang tak habis dijual dalam sebulan macam mana saya nak bayar komitmen dan tanggung tiga anak.

“Jadi, saya minta anak muda kita jangan salah pilih parti, sebelum kita dah salah pilih parti, tapi kali ini kita pilih orang Islam dan amanah jadi pemimpin, pilihlah Datuk Seri Haji Syed Ibrahim,” katanya.

Syed Ibrahim membuat ziarah kasih dari rumah ke rumah di Puchong Permai Blok F.

Terdahulu, DAP melakukan beberapa perubahan apabila mengumumkan Gobind Singh sebagai calon Parlimen Damansara mewakili PH menggantikan penyandang, Tony Pua, yang tidak bertanding pada PRU15.

Bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ketika pentadbiran PH, Yeo Bee Yin, turut bertukar daripada Parlimen Bakri ke kerusi Puchong yang disandang Gobind.

Untuk rekod, selain Syed Ibrahim, Parlimen Puchong menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang kerusi Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin (PH); aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang (Bebas); dan Chew Jyh Gang (PN) pada PRU15.

Author

Pilihan Editor