PUCHONG: Sepanjang memegang kawasan Parlimen Puchong selama tiga penggal, kerajaan PH telah mengabaikan penjagaan kawasan orang asli di Puchong.
Calon BN Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, beliau mendapati perkara tersebut semasa menyantuni masyarakat orang asli di Saujana Puchong dan Sungai Rasau.
Menurutnya, beliau telah bertemu dengan ramai pengundi di sekitar Puchong sepanjang hari Khamis dan bertemu dengan masyarakat orang asli di Puchong itu adalah sebahagian daripadanya.
Tambahnya, kebanyakan pengundi yang ditemuinya mengadu bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen (MP) daripada PH tidak pernah turun melihat penduduk.
“Banyak daripada tempat-tempat ini mengatakan ADUN dan MP tidak pernah turun dan pengundi-pengundi tidak tahu macam mana cara mahu mengadu dan kepada siapa mereka nak mengadu, saya fikir benda-benda seperti ini harus ditangani.
“Kawasan orang asli pun kita dapati mereka abaikan tempat itu dan waktu kita bertemu, mereka mengadu banyak perkara seperti isu geran tanah sampai sudah 20 tahun, mereka masih belum dapat. Jadi inilah benda-benda yang saya fikir yang harus diambil tindakan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.