SERI KEMBANGAN: Kebimbangan jika berlakunya banjir pada pilihan raya akan datang yang dicanang-canang Pakatan Harapan (PH) hanyalah sandiwara sahaja.
Kononnya ambil berat sangat terhadap isu rakyat sehingga ada pemimpin DAP yang sanggup memfailkan saman membantah perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen.
Realiti sebenarnya Parlimen di bawah pentadbiran PH masih menderita kesan akibat banjir tanpa bantuan yang cukup, ada rumah yang belum dibaiki, ada kereta yang tersadai tanpa dibaiki, ladang ternakan musnah tanpa ada bantuan untuk memulakan semula.
Seorang mangsa banjir di Kampung Tengah Batu 13, Puchong di sini, Sahril Sahlan, mengalami kerugian ratusan ribu ringgit membabitkan rumah tenggelam, kereta, bengkel kenderaan dan ladang ternakan ekor ayam, miliknya habis musnah.
Kesan banjir dua kali pada musim Disember di kawasannya menyebabkan dia juga terpaksa berhutang yang sehingga kini belum habis dilunaskan kerana bukan sahaja perlu membaiki kemusnahan terbabit tetapi juga membaik pulih kereta dan motosikal pelanggan di bengkel.
Katanya, dia cuba mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat kawasan itu sebelum ini, namun gagal.
“Barang bengkel banyak hanyut, motor, kereta rosak. Saya ingat bengkel musnah, kita boleh ‘claim’ (tuntut), tapi tak boleh. Sekarang berhutang kerana terpaksa ambil barang bengkel baharu untuk baiki motor, ada lagi RM10,000 belum kena tanggung.
“Rumah saya kerugian RM4,500, struktur retak, 230 ayam biasa perniagaan untuk raya, juga semua musnah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan calon Barisan Nasional (BN) di P103 Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dengan mula bersarapan pagi bersama penduduk serta bertanya khabar peniaga di Kedai Makan Along, Jalan Istiqomah Puchong.
Beliau yang juga merupakan Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) itu seterusnya berkunjung ke Pusat Daftar Mengundi (PDM) di Puchong.
Justeru, beliau merayu kepada wakil rakyat yang memenangi PRU15 kali ini sentiasa turun mendekati dan membantu rakyat.
“Kalau boleh tengok-tengokkan orang kampung sini, rakyat, yang mana memerlukan, jangan untuk PRU sahaja,” katanya.