SERI KEMBANGAN: Penduduk Puchong menolak pemimpin lupa daratan seperti wakil rakyat DAP-PH yang pernah menang di Parlimen P103 yang disandang tiga penggal sejak 2008.
Mereka sangat kecewa dengan Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih pentadbiran daripada tampuk pemerintahan BN lupa siapa yang memilih mereka, yang menaikkan mereka.
Mereka bersikap sambil lewa menyelesaikan isu perumahan daif, bumbung flat berlubang sehingga kini, isu sampah yang tidak diselenggara tahap kritikal sehingga membabitkan isu kesihatan dan keselamatan awam.
Bagaikan kera mendapat bunga, PH seperti tidak menghargai budi jasa pengundi, rakyat yang memilih parti itu, selepas menang ‘trofi’ malah mengabaikan suara mereka.
Penduduk Kampung Tengah Batu 13, Sarlan Kardiman, 78, antara yang kecewa dengan wakil rakyat parti sebelum ini kerana begitu sombong, malah menolak untuk hadir mendengar rintihan mereka.
“Parti lain sombong, lima tahun saya minta bantuan (kerusi roda), tapi tak ada sehingga kini. Penduduk panggil pun tak mahu datang.
“Itulah dia wakil rakyat. Jangan besok bila dah menang, (jadi) lupa daratan,” katanya sambil memberi pesan kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader ketika beliau berkunjung di kampung berkenaan.
Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) turut melakukan tinjauan ke Pusat Daftar Mengundi (PDM) di Puchong Utama, ke PDM Batu 13 Puchong Kampung Tengah dan Sungai Baru serta ke gerai-gerai Batu 13 Puchong.
Turut menyertai walkabout Ketua Wanita UMNO Bahagian Puchong, Hasnah Dain.
Seorang lagi penduduk yang juga anak muda, Muhammad Azarizal Abu Samah, 24, merayu bantuan berbentuk dana perniagaan untuk mengusahakan bengkel di tempatnya.
Dia juga senada dengan jiwa mereka yang kecewa terhadap kepimpinan PH kerana permohonan bantuan perniagaan tidak diluluskan.
“Sebelum ini pernah minta bantuan daripada ketua kampung, tapi tak dapat. Saya mahu buka bengkel untuk saya majukan,” katanya yang sering menerima sekurang-kurangnya empat pelanggan sehari.
Untuk rekod, selain Syed Ibrahim, Parlimen Puchong menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang kerusi Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin (PH); aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang (Bebas); dan Chew Jyh Gang (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sementara, Syed Ibrahim ketika ditemui berkata, beliau akan berjuang untuk mengembalikan hak rakyat untuk memberikan mandat kepada BN semula jika menang pada PRU15.
“Bukan sahaja PH tidak menguruskan banjir, banyak struktur bangunan perumahan tidak dibaiki dengan baik, bengkel musnah akibat banjir atas alasan peruntukan wakil rakyat tidak mencukupi.
“Saya juga dapati ada anak muda buka bengkel kenderaan, dan lihat lokasi niaga tidak sesuai, jadi saya akan pastikan masalah penduduk di sini dapat diselesaikan jika BN menang di sini,” katanya.