SEPANG: Pakatan Harapan (PH) menerusi calonnya Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu mempertahankan kerusi Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh sebanyak 56,264 undi.
Keputusan rasmi yang diumumkan di pusat penjumlahan undi di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi di sini, menyaksikan Aiman Athirah menang dengan majoriti 8,949 biarpun berdepan saingan lapan penjuru.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Amanah) itu menewaskan pesaing terdekat, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang meraih 47,315 undi.
Calon Barisan Nasional (BN) Anuar Basiran mendapat 31,097 undi, sementara baki lima calon iaitu Datin Che Asmah Ibrahim dari Pejuang, Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat), R. Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia) serta dua calon Bebas Mohd Syahrul Amri Mat Sari dan M. Muneswaran masing-masing hilang deposit.
Bagaimanapun, Aiman Athirah hanya berada di sini pada awal proses penjumlahan undi, sebelum dilaporkan meninggalkan dewan itu untuk berada di Grand Dorsett Subang bersama barisan pemimpin PH.
Sementara itu, ini merupakan kekalahan pertama Rina selepas memenangi Parlimen Titiwangsa pada PRU14.
Kerusi Parlimen Sepang, yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Sepat, Sungai Pelek dan Dengkil, sebelum ini dimenangi Mohamed Hanipa Maidin daripada Amanah dengan majoriti 18,705 undi. Kawasan itu mempunyai pengundi berdaftar berjumlah 168,039. – BERNAMA