KUALA NERUS: Selangor FC berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan keputusan agregat 3-2 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua penuh dramatik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.
Selangor FC akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final.
Pada babak pertama perlawanan menyaksikan dominasi oleh tuan rumah yang terlebih dahulu melakukan percubaan menerusi kapten pasukannya, Kipre Tchetche pada minit ke-12.
Bagaimanapun, percubaan tersebut gagal membuahkan hasil apabila rembatan Tchetce sedikit melepasi palang.
Pasukan pelawat tanpa berlengah terus melakukan serangan balas dan turut memperoleh peluang pada minit ke-13, sayangnya rembatan Herlison Caion hasil hantaran Htet Aung tersasar ke sebelah kiri gawang.
Pada minit ke-22, skuad Penyu beroleh satu lagi peluang, namun rembatan dari luar kotak penalti Manuel Ott tersasar ke sebelah kanan gawang gol.
Bagaimanapun, asakan bertali arus oleh pasukan tuan rumah akhirnya berjaya merobohkan tembok pertahanan skuad The Red Giants, sekali gus menceriakan lebih 33,000 penyokong tuan rumah.
Tchetche berhasil membolosi gawang lawan selepas menyudahkan hantaran silang Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-35.
Berbekalkan momentum sedia ada, Mohamad Faisal kemudian menguji ketahanan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid selang seminit kemudian namun tindakan spontannya berjaya menepis sepakan padu pemain tersebut.
Bersambung babak kedua, skuad Penyu yang mengatur semula gerakan hampir menambah jaringan pada minit ke-56, namun gol kedua yang dijaringkan Tchetche dibatalkan berikutan ofsaid.
Ketinggalan 0-1, Selangor selaku juara 33 kali bangkit menggandakan asakan dan hampir mencipta jaringan pada minit ke-66, namun rembatan kapten pasukan, Brendan Gan sedikit tersasar melewati gawang.
Terengganu yang terdesak untuk mendapatkan satu gol tambahan melakukan asakan demi asakan, namun gagal hingga memasuki tambahan masa tujuh minit bagi masa kecederaan sehingga keputusan kekal dengan Selangor menang secara agregat.
Kali terakhir skuad The Red Giants mara ke peringkat akhir Piala Malaysia ialah pada 2016 apabila tewas bertemu Kedah. – BERNAMA