HomeBeritaPPIM gesa tubuh RCI salah guna pembelian vaksin

PPIM gesa tubuh RCI salah guna pembelian vaksin

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terus memperjuangkan nasib mangsa vaksin COVID-19, dan terbaharu menggesa kerajaan baharu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan dakwaan salah guna pembelian dos berkenaan.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan mendakwa, pihaknya menerima beberapa aduan tidak munasabah berhubung angka perbelanjaan dalam menangani wabak COVID-19, baru-baru ini.

Dakwanya, aduan terbabit disertakan dengan fakta yang perlu dikaji malah disiasat kerana jumlah perbelanjaan yang dikenal pasti sangat besar.

“Negara bukanlah kaya sangat dan rakyat menderita, apa pemimpin buat sehingga ada dakwaan salah laku seperti ini. Kami harap rakyat Malaysia dapat bersama dalam usaha ini,” katanya pada sidang media, di sini.

Nadzim, kerajaan tidak seharusnya ‘tutup mata’ dan perlu memandang perkara itu lebih serius.

“Kerajaan pusat yang baharu haruslah serius mengembalikan kestabilan dan membanteras salah laku pemimpin. Jika tidak, tiada bezanya pemimpin kini dan yang sebelumnya,” katanya.

Pakar Perunding Histopatologi dan Ahli Statistik, Dr Manimalar Selvi Naicker pula berkata, kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu melantik Menteri Kesihatan daripada kalangan pengamal perubatan.

Katanya, ubat merupakan sains kompleks yang tidak mudah difahami oleh mereka yang tiada latar belakang dan ijazah perubatan.

Katanya, Menteri Kesihatan yang baharu perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dan sekiranya tiada Ahli Parlimen yang layak, kerajaan dicadangkan melantik seorang Senator dalam kalangan pakar perubatan.

Author

Pilihan Editor