KUALA LUMPUR: Calon termuda yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah Peggy Chaw Zhi Ting dan Muhammad Syahmi Suhaimi yang masing-masing berumur 23 tahun.
Sementara Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai calon paling tua yang bertanding pada pilihan raya kali ini pada usia 97 tahun.
Chaw yang bertanding di Parlimen Tenom atas tiket Bebas akan berdepan persaingan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Noorita Sual, calon Barisan Nasional (BN) Jamawi Jaafar, Ukim Buandi (Parti Warisan) dan seorang lagi calon Bebas, Riduan Rubin.
Muhammad Syahmi pula mewakili PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang di Perlis menentang tiga lagi calon iaitu Datuk Ismail Kassim (BN), Wan Zikri Afthar Ishak (PN) dan Maton Din daripada Pejuang yang merupakan parti komponen GTA.
Sementara itu, Dr Mahathir yang bertanding di Langkawi atas tiket Pejuang mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua dalam persaingan lima penjuru melibatkan calon BN Datuk Amirshah Siraj, calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, Zabidi Yahya (PH) dan Datuk Abd Kadir Sainudin (Bebas).
Pada PRU14, Perdana Menteri Keempat itu mencipta kejutan memenangi kerusi tersebut atas tiket PH dengan memperolehi 18,954 undi menewaskan penyandang daripada BN Nawawi Ahmad dan calon PAS Zubir Ahmad selepas kembali aktif dalam gelanggang politik setelah “menyepi” lebih 13 tahun.
Beliau yang menjadi Perdana Menteri Ketujuh selama 22 bulan selepas kemenangan PH pada PRU14, sebelum itu menyandang kerusi Parlimen Kubang Pasu selama lima penggal sejak 1974 atas tiket BN sebelum melepaskan jawatan pada 2004.
Selain itu, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah, 85, turut sebaris dengan Dr Mahathir apabila menjadi calon kedua tertua dalam pilihan raya kali ini sejak dinamakan pertama kali menjadi calon PRU pada 1974.
Bekas Menteri Kewangan dan pengasas Petroliam Nasional Berhad (Petronas) itu yang bertanding di Parlimen Gua Musang merupakan calon paling senior dipertaruhkan BN bagi mengekalkan kerusi tersebut.
Beliau pernah keluar daripada UMNO pada 1988 bagi memimpin Parti Semangat 46 (S46) dan mengekalkan kerusi Parlimen Gua Musang bersama S46 dalam PRU pada 1989.
Pada PRU15, Tengku Razaleigh berdepan saingan empat penjuru melibatkan calon PAS, Datuk Mohd Azizi Abu Naim, Dr Samsu Adabi Mamat (Pejuang) dan Asharun Uji (PH).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November. – BERNAMA