KUALA LUMPUR: Presiden parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader menyifatkan pencalonan dirinya di Parlimen Puchong mewakili Friends Of Barisan Nasional (BN) sebagai penghargaan atas kesetiaan parti itu bersama BN selama 46 tahun.
Beliau berkata ketika 10 parti Friends Of BN meninggalkan BN apabila gabungan itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), KIMMA dan tiga parti lain iaitu Makkal Sakti, Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) tetap setia bersama BN.
“Tidak sedikit pun kami mendesak untuk mendapat kerusi untuk bertanding setiap kali pilihan raya, tetapi kami hanya mahu setia berkhidmat untuk rakyat bersama BN, saya fikir sebab itu pengerusi BN memberi kerusi kepada kami pada pilihan raya kali ini, ini satu penghargaan untuk KIMMA,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Selain Syed Ibrahim, semalam Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan Presiden Makkal Sakti Datuk R. S. Thanenthiran sebagai calon Parlimen Nibong Tebal.
T. Loganathan dari parti IPF diumumkan sebagai calon Parlimen Jelutong dan Razalif Mohamad Zain dari PCM akan bertanding di kerusi Bukit Bendera.
Ini merupakan julung kali parti-parti Friends Of BN diberi peluang untuk bertanding dalam pilihan raya umum.
Sebelum ini Ahmad Zahid menyatakan komitmen bahawa Friends of BN akan diberi peluang untuk dicalonkan pada PRU15. – BERNAMA