HomeBeritaPolitikPRU15: PBM sedia kerjasama dengan kerajaan yang menang termasuk PH

PRU15: PBM sedia kerjasama dengan kerajaan yang menang termasuk PH

AMPANG: Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedia menjalin kerjasama politik dengan parti atau gabungan yang membentuk kerajaan selepas 19 November ini sekiranya calon mereka dipilih oleh rakyat.

Calonnya di Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin berkata, rancangan jalinan kerjasama tersebut untuk memastikan perkhidmatan yang lebih berkesan serta kebajikan rakyat lebih terjamin.

“Kita akan sokong kerajaan yang dibentuk. Macam saya bertanding di Ampang, saya ingin memastikan hak rakyat di Ampang pertahankan iaitu peruntukan di kawasan Parlimen Ampang untuk berkhidmat kepada rakyat Ampang kerana ini hak mereka.

“Jadi kepada mana-mana kerajaan yang menang harus memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen seperti saya.

“Mana-mana kerajaan pun termasuk Pakatan Harapan (PH) kerana saya ingin memperjuangkan hak rakyat Ampang untuk mendapatkan peruntukan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya P99 Ampang di kawasan lapang WaterFront 3A, Ampang, pada malam ini.

Dalam pada itu, PBM juga mengumumkan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika zaman pemerintahan PH, Datuk Seri Santhara Kumar akan mempertahankan kerusi Parlimen Segamat pada PRU15 ini.

Antara calon lain yang akan mewakili parti tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Hanisza Talha dipertaruhkan di Parlimen Hulu Selangor.

Kata Zuraida, parti itu juga sedang membuat pertimbangan bagi meletakkan calon di tiga lagi kawasan Parlimen dan dua di Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Perak yang terdiri daripada kawasan Tronoh dan Malim Nawar.

Author

Pilihan Editor