KANGAR: Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun mereka tidak dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN).
Shahidan berkata, beliau bukan hanya mahu orang Bersatu dan PAS menyokongnya malah meminta orang UMNO turut sama memberikan sokongan kepada gagasan Muafakat Nasional.
“Saya ingin menjadi model kepada Muafakat Nasional dan orang UMNO kena sokong saya sebab semua gerakan (jentera BN Arau) yang dibuat sebelum ini, saya yang atur daripada A ke Z… namun tiba-tiba mereka tolak saya dan letak calon yang bukan dicadangkan oleh Jawatankuasa Bahagian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau juga berkata pengumuman akan dibuat oleh Perikatan Nasional malam ini yang mungkin menyaksikan penambahan satu nama calon.
Zahidi pula berkata beliau bersama individu lain yang tidak disenarai sebagai calon BN berkemungkinan besar bertanding pada PRU15.
“Kami tidak pasti lagi akan bertanding atas logo (parti) mana, tunggu pada 5 November (hari penamaan calon) nanti,” katanya sambil menambah beliau telah dihubungi beberapa parti namun belum membuat sebarang keputusan. – BERNAMA