ISTANBUL: Cristiano Ronaldo meminta wartawan usah bertanya kepada pemain Portugal mengenai temu bual baru-baru ini.
“Saya tidak risau dengan pendapat orang lain. Saya bercakap apabila saya rasa perlu untuk bercakap,” kata Ronaldo pada satu sidang akhbar pada Isnin.
Bintang bola sepak itu menjadi tumpuan media susulan wawancara dengan wartawan Britain Piers Morgan. Pada wawancara itu beliau mendakwa pengurus Manchester United Erik ten Hag cuba memaksanya meninggalkan kelab dan pemain itu berasa “dikhianati”.
“Tolong, jangan tanya pemain tentang saya – tanya tentang Piala Dunia,” kata penyerang sensasi berusia 37 tahun itu.
Selepas wawancara itu, poster Ronaldo di luar Old Trafford dilaporkan telah diturunkan, lapor Agensi Anadolu.
Pasukan Portugal akan menentang Ghana dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H di Stadium 974 di Doha, Qatar pada Khamis.
Ronaldo, pemenang Ballon d’Or lima kali, berada dalam tugasan kedua di Manchester United selepas bermain untuk Real Madrid dan Juventus selama beberapa musim. – BERNAMA