KUALA LUMPUR: Saman fitnah yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mungkin akan diselesaikan tanpa perbicaraan.
Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri mengesahkan perkara itu semasa dihubungi media selepas kes berkenaan disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini.
âKes hari ini (pendengaran inter-parte – kedua-dua pihak) ditangguhkan ke 5 Januari depan. Ada potensi untuk penyelesaian kes ini,â katanya.
Perkara itu turut diperakui oleh peguam Lokman, S.Suresh.
Pada 12 September lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah perdana menteri di akaun media sosial.
Ismail Sabri, 62, yang juga Naib Presiden UMNO, selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 September lepas dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.
Dalam penyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bera itu mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif, dalam satu video bertajuk âBila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adamâ.
Beliau berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif itu dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube âLokman Adamâ, Facebook âLokman Noor Adam Officialâ, Instagram âlokmannooradamâ dan TikTok âdatoklokmanadamâ.
Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO, untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati UMNO.
Ismail Sabri juga mendakwa beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain bagi tujuan itu mahpun terlibat dengan sebarang langkah-langkah secara tidak berprinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum, untuk kekal sebagai perdana menteri.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 1 September lepas, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri dan kerajaan melalui aplikasi Facebook atas nama profil âLokman Noor Adam Officialâ. – BERNAMA