HomeBeritaPolitikSaring prestasi kerja YB setiap tiga bulan - Irwan

Saring prestasi kerja YB setiap tiga bulan – Irwan

SETIAWANGSA: Bukan hanya pekerja yang perlu dinilai prestasi mereka, namun wakil rakyat juga wajar dinilai prestasi mereka sejurus memulakan kerja untuk rakyat.

Jika mereka gagal, Pilihan Raya Kecil (PRK) wajar diadakan untuk memberi peluang kepada yang lain untuk berkhidmat pula.

Presiden Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa), Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, penilaian itu diterjemah kepada bentuk ‘performance card’ setiap wakil rakyat sama ada mampu mengendalikan urusan rakyat dan dasar kerajaan dengan baik atau sebaliknya.

Katanya, rakyat sendiri sudah muak dan tidak mahu pemimpin ‘hit and run’ yang hanya sekadar muncul dan lantang ketika musim pilihan raya sahaja.

“Sebenarnya, kita tak tahu karakter pemimpin yang kita akan pilih, masa meminta untuk dipilih macam-macam (berjanji), setelah dipilih hilangkan diri, PRU akan datang muncul balik.

“Wakil rakyat sebegini tidak melaksanakan kerja, jadi saya syorkan pada komuniti Setiawangsa, saya syorkan petisyen kita tumbangkan dia (wakil rakyat tak berfungsi) tak kira daripada parti mana sekali pun sebab kecewa dengan pemimpin seperti ini.

“Kita tak perlu tunggu PRU, boleh buat PRK (Pilihan Raya Kecil), satu Malaysia pun boleh buat macam itu. Rakyat kena tengok performance card setiap tiga bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Terdahulu, beliau mendekati rakyat Parlimen Setiawangsa pada program bersiri Petrol Percuma anjuran Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa) yang diadakan sejak 2019, di Stesen Minyak Petron Sri Rampai.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa itu turut menyeru supaya jangan memberi peluang terlalu mudah kepada wakil rakyat baharu.

“Sebab peruntukan diberi setiap tahun, wakil rakyat kena turun padang untuk bantu, tak cukup peruntukan tugas ‘you’ (wakil rakyat) cari peruntukan.

“Kita bagi tiga hingga lima bulan, jangan bagi lama sangat, kalau tak bantu, kita berarak, buat gerakan tumbangkan wakil rakyat tak kira parti apapun,” katanya.

Author

Pilihan Editor