KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz menegaskan sentimen-sentimen perkauman dan agama yang banyak dimainkan beberapa parti sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tidak wajar.
ADUN Puteri Wangsa itu berkata demikian pada sidang media yang diadakan pihak PH di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu pagi.
Amira bersama-sama dengan beberapa pemimpin daripada parti-parti komponen PH ketika ditemui pihak media baru sahaja selesai membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi berhubung isu perkauman dan agama yang dimainkan di media sosial.
“Apa yang kita lihat sepanjang waktu kempen berlangsung, di mana sentimen-sentimen perkauman digunakan sebagai api untuk menghentam dan juga menghasut orang lain menentang parti-parti lain.
“Itu adalah satu semangat yang terlalu jauh bertentangan dengan semangat Malaysia yang sebenar dalam negara kita, sepatutnya perbezaan kaum itu kita raikan dan hormati.
“Tetapi apabila sentimen-sentimen perkauman dimainkan kebanyakan parti politik, itu adalah satu perkara yang sangat tidak wajar,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyentuh mengenai penahanan seorang pengguna Twitter @bumilangit yang tidak wajar kerana individu itu hanya memuat naik kandungan berunsur kebencian itu supaya isu itu diberi perhatian orang ramai.
“Saya juga suka untuk menyentuh tentang isu penahanan pengguna Twitter @bumilangit di mana dia telah direman hanya kerana dia membawa perhatian kepada video-video yang memainkan isu-isu perkauman.
“Saya rasa perkara itu sangat tidak wajar. Kenapa @bumilangit ditahan dan direman sehingga berhari-hari walaupun kami difahamkan bahawa siasatan ke atasnya telah selesai sedangkan akaun-akaun media sosial yang memainkan unsur-unsur perkauman ini belum ada apa-apa perkembangan daripada pihak polis tentang apa-apa tindakan yang diambil atas mereka yang betul-betul menggunakan isu perkauman.
“Bagi saya ini adalah dua kontras sangat besar yang dapat kita lihat dan saya harap pihak polis dapat mengambil tindakan atas mereka yang memainkan isu perkauman kerana ini bukanlah perkara kecil,” katanya lagi.
Justeru, beliau berharap pihak polis dapat mengatasi isu ini dan dan tidak mengambil mudah dan ringan terhadap laporan yang telah dibuat.
Menurut Amira, jika perkara ini dibiarkan lebih lama berlegar-legar di ruangan media sosial, akan mengapi-apikan lebih ramai orang dan kemungkinan mendatangkan kesan yang tidak diingini terjadi dalam negara.