HomeMV+PendapatUlar menyusur akar takkan hilang bisanya, BN masih relevan

Ular menyusur akar takkan hilang bisanya, BN masih relevan

APABILA Barisan Nasional (BN) memilih untuk menjadi pembangkang, ramai yang terkejut dan juga gerun.

Terkejut kerana walaupun banyak kecaman, hentaman dan rakyat dikatakan tidak memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mereka terpaksa akur hanya Ahli Parlimen dari BN memiliki pengalaman cukup untuk mentadbir negara dengan baik.

Gerun kerana BN sudah menunjukkan bukti mereka tetap memiliki kuasa walaupun bukan dalam kerajaan.

Satu pengunduran bermaruah BN yang menganggap diri mereka ditolak rakyat.

Selepas kejatuhan BN kali pertama pada 2018, BN mampu jatuhkan Pakatan Harapan (PH) dalam 22 bulan dan Perikatan Nasional (PN) dalam 17 bulan.

Rakyat sudah menyaksikan bagaimana PH dan PN sebelum ini gagal mengibarkan layar bahtera Malaysia sehingga negara hampir karam.

Akhirnya untuk meredakan keadaan, Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik dari kalangan blok BN pada tahun 2021.

Dalam 14 bulan mentadbir, Ismail Sabri mengeluarkan negara da­ripada pandemik COVID-19 serta menstabilkan politik negara dengan menjalin memorandum persefahaman kerjasama bersama pembangkang, cubaan pertama Ismail Sabri untuk Kerajaan Perpaduan.

Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditentang kuat ahlinya ekoran mahu bergabung dengan PH, namun jasa beliau memastikan BN sentiasa relevan pada setiap era kejatuhan tidak boleh dinafikan.

Jangan lupa sejarah PRU tahun 2008, kerajaan BN Selangor jatuh kali pertama setelah hanya mendapat 20 kerusi, PAS (15) dan PH (21) kerusi.

Kerana tiada siapa ada majoriti tubuh kerajaan, akhirnya PAS menolak UMNO Islam dan memilih PH (PKR dan DAP), maka bermulalah kerajaan Pakatan Rakyat dan sehingga kini BN masih gagal menakluk semula Selangor kekal jadi pembangkang.

Tahun hadapan 2023, tsunami ekonomi pula dijangka berlaku, nilai mata wang negara masih di tahap yang teruk dan inflasi meningkat.

Dari sudut rekod pentadbiran, tiada siapa boleh menyanggah fakta bahawa BN paling terbaik menjadi kerajaan namun kerana rakyat menuntut ‘pembersihan’ pemutihan dalam BN, maka PRU15 menyaksikan kekalahan yang teruk.

PH dan PN terpaksa akui tanpa BN mereka sukar membentuk kerajaan yang stabil, walau apa tohmahan dilemparkan sebelum ini.

Timbul persoalan di hati rakyat kenapa PH tidak ‘ngam’ dengan PN dan kedua-dua sanggup mengahwini BN daripada berkongsi bantal dengan PH atau PN.

Begitu juga GPS, GRS kenapa mereka juga memilih BN berbanding PH, ini membuktikan BN memang ‘mahal’ nilainya mampu jaga rakyat Semenanjung dan Sabah, Sarawak.

PRU15 sebenarnya lebih banyak hikmah tersembunyi dari Allah, yang mahu memperlihatkan wajah sebenar pemimpin dipilih, walau fitnah dan tohmahan berganda-ganda mereka tetap mengemis kuasa.

Kata orang tua-tua, ular menyusur akar takkan hilang bisanya, begitulah bagi parti politik tertua Tanah Melayu, BN.

Author

Pilihan Editor