SERI SERDANG: Rakyat Malaysia khususnya warga Puchong diingatkan supaya mengundi berdasarkan fakta dan bukannya emosi, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii.
Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, rakyat sewajarnya tidak mengulangi kesilapan dengan memberi mandat pada Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal menunaikan janji-janji mereka.
“19 November ini kalau kita undi berdasarkan emosi, negara akan jahanam.
“Kita kena undi berdasarkan fakta yang sebenar,” katanya ketika berucap dalam program ceramah umum Barisan Nasional di Puchong Court 1, Selasa malam.
Beliau hadir pada bagi memberi sokongan buat calon BN kerusi Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim.
Fakta yang dimaksudkan beliau adalah berhubung cara pimpinan PH yang menerajui kawasan itu sebelum ini, namun masih tidak memberi sebarang perubahan yang stabil buat warga Puchong.
Dalam pada itu, Razlan turut menegaskan bahawa BN amat konsisten dalam menyuarakan pendiriannya.
Katanya, parti itu mempunyai gaya tersendiri dalam membantu masyarakat khususnya golongan B40 yang sememangnya perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Jelas Razlan, BN tidak sesekali akan membiarkan pendidikan anak muda di negara ini diabaikan hanya kerana tidak berkemampuan.
Justeru, pendidikan percuma bakal disediakan oleh BN bagi memastikan generasi anak muda berpeluang menyambung pengajian mereka ke menara gading.
“Setiap keluarga B40 yang tak mampu belajar dekat universiti akan diberi bantuan belajar secara percuma.
“Penting pendidikan percuma ini sebab dulu anak-anak kita tak mampu pergi universiti jadi kita tubuh tabung PTPTN.
“Lepas itu kita didik anak-anak kita kalau nak dapat percuma kena dapat first class degree. Itu cara didikan,” ujarnya.