HomeBeritaPolitikWTC bergema laungan undur Zahid, No PH, No DAP

WTC bergema laungan undur Zahid, No PH, No DAP

KUALA LUMPUR: Nampaknya status kerajaan tergantung tidak akan diketahui hari ini kerana sana sini akar umbi hingga peringkat tertinggi UMNO mahu Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan.

“Undur, undur… undur Zahid,” begitulah laungan didengar media di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, Ahad.

Puluhan ahli dan pimpinan UMNO Cawangan KLCC, Bukit Bintang dan Jalan Hang Jebat berada di ibu pejabat UMNO, di sini.

Ketua UMNO Cawangan KLCC, Datuk Seri Dzulkarnain Taib berkata, laungan itu jelas menuntut Ahmad Zahid supaya melepaskan jawatan sebagai pemimpin nombor satu dalam parti.

“Ahmad Zahid perlu berundur dan memberi laluan kepada individu lain untuk menerajui parti kerana itu sewajarnya selepas BN mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kami tidak puas hati dengan prestasi BN dalam PRU15.

“Sekiranya mana-mana organisasi gagal capai objektif dan matlamat perjuangan maka kegagalan itu harus digalas serta dipertanggungjawabkan kepada kepala yang mengetuai gagasan.

“Bukan tak sayang, malah kita sayang dan hormat beliau (Ahmad Zahid) namun dalam hal ini, seseorang perlu membayar harganya. Jadi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid perlu ambil tanggungjawab,” katanya.

Menurut Dzulkarnain, Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat dan mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan BN selepas kekalahan BN dalam PRU14.

“Kegagalan dalam dua PRU berturut-turut menyebabkan BN tidak dapat menjadi kerajaan dominan.

“Kali ini, bertambah kecil jumlah kerusi yang dimenangi dan seharusnya (Ahmad Zahid) ambil keputusan mengundur diri secara terhormat sebelum ahli Majlis Tertinggi dan akar umni buat undi tidak percaya.

“Ia yang sebaiknya sebelum Ketua Cawangan dan Ketua UMNO mulakan percikan api mendesak presiden dan pengerusi meletak jawatan kerana kita percaya ramai lagi (ketua cawangan, ketua bahagian dan ahli) di peringkat akar umbi akan ikut,” katanya.

Tambah Dzulkarnain, tindakannya dan ahli lain yang bersuara kemungkinan menyebabkan mereka dibuang parti namun sedia menanggung akibatnya.

“Kita mungkin dibuang parti tetapi tidak kisah kerana mahu suarakan hati akar umbi.

“Jika sebelum ini, Datuk Seri Najib letak jawatan, kenapa beliau (Ahmad Zahid) tidak ambil tanggungjawab sama. Adakah disebabkan agenda peribadi lebih penting daripada parti?

“Kami yang bekerja bermati-matian, dalam persidangan UMNO baru-baru ini juga dinyatakan ‘No Anwar, No DAP’ jadi kenapa nak bawa?” katanya.

PRU15 berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

BN mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

Author

Pilihan Editor