CYBERJAYA: Debaran rakyat dan pimpinan politik semakin kencang apabila desas desus kuat mengatakan pembentukan barisan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok.
Ia bagi membolehkan Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini dan dipercayai bagi membolehkan Kabinet Kerajaan Perpaduan dibentuk segera berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dijangka ke luar negara pada Sabtu ini.
Amanah besar Ahli Parlimen Tambun untuk menyatukan parti-parti politik yang berbeza idealogi bukan mudah selain pembentangan Bajet 2023 yang perlu dilakukan bagi melaksanakan sekurang-kurangnya bayaran gaji untuk penjawat awam.
Namun yang masih menjadi bualan hangat adalah kewajaran Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Ketua Pemuda UMNO Ranau, Vennex Jasmin @miki berkata, pada ketika ini Kerajaan Perpaduan masih belum bersatu padu sepenuhnya.
“Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh kerusi terbanyak dalam PRU15 juga berhadapan perbezaan pendapat antara ahli daripada gabungan PKR dan DAP.
“Begitu juga BN yang mana dilihat berpecah dua di mana satu kumpulan menyokong kepimpinan Zahid, satu lagi menganggap Zahid sebagai liabiliti.
“Persamaan antara Anwar dan Zahid, mereka imun serangan politik sama ada dari luar dan dalam parti mereka, tegar sehingga ke saat ini.
“Jadi gabungan kekentalan kepimpinan kedua-duanya pasti akan memberi kestabilan serta menguntungkan rakyat dan negara,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Tambahnya lagi, hanya Zahid teguh bersama dengan PH berbanding sebahagian Ahli Parlimen lain dalam BN yang lebih menyokong PN.
“Sikap teguh ini sentiasa menjadi ciri Zahid dalam berhadapan kekalahan teruk BN pada 2018, teguh menolak permintaan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar BN bagi mengelakkan kesnya dibicarakan.
“Dari segi undang-undang, melantik seseorang yang masih ada kes dalam perbicaraan bukan merupakan suatu kesalahan atau perkara yang tidak boleh dilakukan.
“Prinsip keadilan mengatakan, seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah berbuat demikian adalah suatu bentuk ketidakadilan.
“Saya tidak nampak cara lain yang boleh meletakkan pemahaman ini kembali ke landasan yang betul melainkan Zahid diberi peluang menjadi TPM.
“Ia akan membuka mata semua agar memberi peluang yang sama kepada semua manusia dan biarlah undang-undang yang menentukan benar atau salah seseorang itu.
“Budaya menghukum seseorang sebelum dibuktikan bersalah perlu dihentikan, dan saya amat berharap perlantikan Zahid nanti akan memberi sinar baharu kepada budaya yang sudah lama bernanah dalam masyarakat kita,” katanya.