KUALA LUMPUR: [DIKEMAS KINI] V Sivakumar yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia pernah mencatat sejarah dalam politik di Perak atau mungkin di Malaysia kerana semasa beliau menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), sidang DUN pernah berlangsung di bawah pokok hujan-hujan pada 3 Mac 2009.
Sivakumar pernah memanggil sidang tergempar untuk membentangkan usul ke atas peralihan tampuk kuasa kerajaan negeri.
Persidangan itu berlangsung di bawah pokok hujan-hujan, selepas dipercayai Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Rakyat telah dihalang daripada memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN.
Insiden itu menarik tumpuan ramai dan diingati sebagai peristiwa yang melucukan, kerana prosiding itu berlaku di bawah sebatang pokok dengan Sivakumar lengkap berpakaian sebagai Speaker DUN dengan jubah dan songkoknya.
Memulakan kerjaya politik pada 1997 dengan menyertai DAP, Sivakumar pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 dan menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.
Selepas 25 tahun berkecimpung dalam politik, Sivakumar, 51, yang menyandang kerusi Parlimen Batu Gajah sejak 2013, dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Setiausaha Agung DAP itu memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan pengkhususan dalam Pentadbiran Awam daripada Universiti Malaya pada 1994 dan seterusnya Ijazah Bersekutu dalam Pentadbiran Agensi Insurans (AIAA) daripada Life Office Management Association, Amerika Syarikat dalam tahun 2000.
Selain politik, bapa kepada dua orang anak itu secara profesional terlibat dengan Yayasan Perak, Ipoh selaku seorang daripada Lembaga Pengarahnya dalam 2019 dan Lembaga Pemegang Amanah (Kuala Lumpur) Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia pada 2018.
Pada PRU12, beliau memenangi kerusi DUN Tronoh di Perak sebagai muka baharu dan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lee Kim Choy dengan majoriti 2,571 undi.
Pada tahun sama beliau juga mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Perak.
Melangkah ke hadapan dalam profesion politiknya pada PRU13, Sivakumar bertanding di Parlimen Batu Gajah dan memenangi pertembungan satu lawan satu dengan calon BN, Loo Thin Tuck dengan majoriti 53,770 undi yang berjaya dipertahankan beliau sehingga kini.
Dalam PRU15, Sivakumar sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Batu Gajah dengan majoriti 53,836 undi menewaskan wakil Perikatan Nasional, Woo Cheong Yuen dan Teoh Chin Chong daripada BN. – BERNAMA