HomeBeritaAgong zahir sukacita kerjasama berjaya dicapai antara Petronas, ADNOC

Agong zahir sukacita kerjasama berjaya dicapai antara Petronas, ADNOC

CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita terhadap kerjasama yang berjaya dicapai diantara Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam kenyataan pada Selasa, baginda berkenan berangkat menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian antara Petronas dan ADNOC di Abu Dhabi pada jam 6 petang pada Isnin.

Menurutnya, hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik serta barisan kepimpinan tertinggi Petronas dan ADNOC.

Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan turut hadir dengan diiringi Menteri Industri Teknologi Maju UAE, Dr Sultan Ahmed Al Jaber, merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC.

“Perjanjian yang bersejarah antara anak syarikat milik penuh Petronas dengan ADNOC itu melibatkan kerjasama meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dengan kerjasama yang telah berjaya dicapai buat julung kalinya antara Petronas dan ADNOC.

“Kerjasama ini juga secara langsung mengiktirafkan dan membuktikan sekali lagi keupayaan syarikat-syarikat Malaysia bersaing di peringkat global,” kata Ahmad Fadil.

Katanya, kejayaan kerjasama antara syarikat gergasi pengeluar minyak dan gas negara dan Abu Dhabi itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan UAE di pelbagai peringkat.

Tambahnya, hubungan dua hala yang rapat termasuk antara pemimpin kedua-dua negara dan hubungan sesama rakyat itu juga sejajar dengan keputusan kedua-dua sebelum ini bagi menaik taraf hubungan ke peringkat perkongsian strategik.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kerjasama itu juga akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi antara kedua-dua negara demi kepentingan dan kemakmuran bersama.

“Seri Paduka Baginda kini dalam rangka lawatan khas ke Abu Dhabi selama empat hari sehingga 7 Disember atas persilaan peribadi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor