SEPANG: Cuti Tahun Baharu Cina semestinya dinanti-nantikan seluruh bangsa di Malaysia bukan sahaja Cina kerana tempoh cuti yang panjang itu sesuai dimanfaatkan bersama seisi keluarga.
Justeru, sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, syarikat penerbangan, AirAsia mengumumkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023.
AirAsia turut menawarkan 25,020 tempat duduk tambahan dari destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak untuk tempahan bagi tempoh perayaan berkenaan.
Menariknya, tawaran ini membolehkan orang ramai untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri pada hanya RM199 sehala.
Manakala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada hanya RM249 sehala dan tempahan boleh dibuat mulai 28 Disember ini.
Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia turut mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya berbesar hati kerana AirAsia kekal komited menyokong inisiatif kerajaan menurunkan tambang penerbangan semasa musim perayaan.
“Meskipun terdapat kekangan operasi dan tidak dapat meningkatkan lebih kekerapan penerbangan kerana kekurangan pesawat seperti apa yang dialami oleh semua syarikat penerbangan, namun AirAsia komited untuk menyatukan rakyat pada musim perayaan ini dengan menawarkan tambang rendah.
“Tidak semua syarikat penerbangan mempunyai lebih daripada 100 pesawat, tetapi saya harap semua syarikat penerbangan membantu kerajaan dari segi menambah kekerapan.
“Pihak berkuasa penerbangan dan pengendali lapangan terbang akan mempermudahkan untuk semua syarikat penerbangan yang ingin berbuat demikian.
“Sempena sambutan tahun baharu ini, kami berharap kerjasama dengan pemain industri seperti AirAsia kekal terjalin bagi memenuhi keperluan dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis pengumuman inisiatif terbaharu AirAsia itu di RedQ di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan untuk membantu dan memberi sokongan kepada mana-mana syarikat penerbangan yang ingin melaksanakan kadar tambang tetap.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, sebagai syarikat penerbangan untuk semua, pihaknya sentiasa melakukan yang terbaik bagi menghubungkan orang ramai dengan tambang berpatutan meskipun perlu berdepan pelbagai cabaran dalam beroperasi.
“Beberapa tahun kebelakangan ini amat sukar untuk semua dan walaupun industri perjalanan kini semakin pulih, kami tidak dapat menambah penerbangan seperti sedia kala berikutan pandemik.
“Namun, di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, kami terus berusaha dan komited untuk menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang.
“Hari ini, kami berbesar hati kerana dapat mengumumkan penerbangan tambahan lewat malam istimewa pada tambang rendah tetap.
“Inisiatif ini tidak mungkin dapat dilancarkan tanpa dedikasi Allstars kami yang akan terus bekerja keras pada musim perayaan ini, serta pihak kerajaan atas bantuan mereka mendapatkan kelulusan untuk penerbangan tambahan lewat malam, ” katanya.
Dalam pada itu, pihak AirAsia menasihatkan kesemua penumpang yang akan melakukan perjalanan semasa tempoh Tahun Baru Cina supaya tiba di lapangan terbang dua jam lebih awal daripada waktu perlepasan yang dijadualkan (untuk perjalanan domestik).
Para penumpang turut digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri menggunakan airasia Super App, yang tersedia seawal 14 hari sebelum tarikh perlepasan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki penerbangan.