ANKARA: Argentina menundukkan Australia 2-1 pada Sabtu dan akan bertemu Belanda pada suku akhir Piala Dunia FIFA 2022, lapor Agensi Anadolu.
Bintang Argentina Lionel Messi menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-35 apabila rembatannya di dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Australia, Mathew Ryan.
Penyerang Paris Saint-Germain itu menjaringkan gol pertamanya di peringkat kalah mati Piala Dunia untuk membolehkan Argentina mendahului separuh masa pertama dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Ahmad Bin Ali milik Ar-Rayyan.
Argentina menambah jaringan pada minit ke-57 menerusi penyerang Manchester City, Julian Alvarez.
Australia merapatkan kedudukan pada minit ke-77 hasil rembatan Craig Goodwin.
Argentina seterusnya akan bertemu Belanda pada perlawanan suku akhir yang dijadual pada Jumaat. – BERNAMA