KUALA LUMPUR: Armada Bersatu memfailkan laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Rabu.
Laporan polis yang diketuai Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan dibuat sekitar jam 1 tengah hari itu adalah atas tuduhan Anwar terhadap Perikatan Nasional (PN).
Tuduhan yang disifatkan Armada sebagai fitnah itu ialah mengenai dakwaan Anwar bahawa dana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PN adalah daripada syarikat judi.
Sebagai Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal mewakili seluruh Ahli Parlimen PN menafikan tuduhan Anwar itu, dalam sidang media di hadapan IPD Dang Wangi.
“Saya baru sahaja selesai membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertuduhan jenayah, ‘criminal defamation’, yang beliau tuturkan berkenaan tuduhan kononnya PN mendapat dana daripada syarikat judi yang digunakan untuk kempen PRU15 baru-baru ini.
“Saya sebagai Ahli Parlimen Machang, yang menang bertanding dipilih oleh rakyat dan mewakili Ahli-ahli Parlimen PN yang lain, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini, bahawasanya kami menerima dana daripada syarikat judi tersebut.
“Ini satu perkara yang sebenarnya permainan politik yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina persepsi seolah-olah kami menerima dana daripada syarikat judi ini,” katanya kepada pihak media.
Beliau juga menganggap tuduhan Anwar itu mungkin bertujuan menggempur pengundi-pengundi Melayu khususnya yang bakal mengundi PRU15 hari ini di Tioman dan Padang Serai.
“Saya yakin, pengundi-pengundi tidak akan termakan dengan fitnah ini kerana ianya dinafikan oleh pimpinan kami, sama ada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan juga Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Malah dengan laporan polis yang kami buat pada hari ini, menunjukkan kami tidak ada apa untuk diselindung, untuk pihak berkuasa menyiasat bukan sahaja berkenaan judi tersebut tetapi juga berkenaan RM600 bilion fitnah kononnya duit itu adalah duit yang hilang dan sebagainya.
Tambahnya, PN mengambil serius tohmahan dan fitnah itu dan berharap pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mengambil kira laporan yang telah mereka buat tadi.