LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun hilang, manakala bapanya cedera parah selepas diserang buaya di perairan berhampiran Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM), di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.25 pagi.
Katanya, berdasarkan maklumat saksi, kedua beranak itu disambar buaya ketika sedang mencari perahu mereka di persisiran pantai.
“Bapa kanak-kanak itu, Moherat, 45, berjaya diselamatkan orang awam, namun mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Lahad Datu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumsoa berkata, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak yang hilang itu menggunakan kaedah ‘surface rescue’ sejauh dua kilometer dari Pangkalan PPM hingga perairan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, di sini.
Bagaimanapun, menurutnya sehingga 5 petang tadi mangsa masih belum ditemukan dan operasi disambung esok. – BERNAMA