SHAH ALAM: Bekas guru besar sekolah rendah agama (SRA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM164,800 berkaitan projek kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA di Selangor.
Kamaludin Sahlan, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, Kamaludin didakwa secara rasuah telah meminta daripada Romzi Sirok suapan bernilai 11 peratus daripada nilai projek sebagai dorongan baginya untuk membantu Romzi mendapatkan kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA di daerah Petaling dan Kuala Selangor.
Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa telah menerima secara rasuah daripada Romzi wang suapan berjumlah RM164,800 melalui akaun CIMB Islamic miliknya sebagai dorongan untuk tertuduh membantu Romzi mendapatkan kerja-kerja berkenaan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No. 33, Jalan Duku 5, Taman Seri Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan CIMB Islamic Bank Bhd Cawangan Kota Kemuning, Shah Alam antara Mei 2019 dan 12 Januari hingga 21 April 2021.
Kamaludin, yang kini  ditukarkan ke Unit Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan maksimum 20Â tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Hakim Rozilah menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan Kamaludin diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Januari 2023. – Â BERNAMA