HomeBeritaDana RM600 bilion: Tiada apa nak disorokkan - Tengku Zafrul

Dana RM600 bilion: Tiada apa nak disorokkan – Tengku Zafrul

 

CYBERJAYA: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa tiada perkara yang perlu disorokkan berhubung isu salah guna dana RM600 bilion.

Katanya, sehingga kini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menghubungi beliau yang didakwa terbabit dalam isu skandal berkenaan.

“Tadi media tanya sama ada saya telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan isu RM600 bilion. Jawapan saya mudah. Tiada apa yang nak disorokkan.

“Setakat ini SPRM belum hubungi saya. Sekiranya dihubungi, saya akan beri kerjasama penuh,” tulisnya ringkas menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa SPRM akan memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul untuk memberi keterangan mengenai salah guna dana RM600 bilion itu.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 itu pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lepas.

Author

Pilihan Editor