KUANTAN: Dua petugas Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dipercayai menawarkan darjah kebesaran Pahang iaitu Datuk dan Datuk Seri secara tidak sah akan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, esok.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 36 dan 30 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta yang sama.
Beliau berkata, suspek yang masing-masing bertugas sebagai pembantu operasi dan pembantu tadbir itu  disyaki telah melakukan kegiatan tersebut dengan mendaftar 29 nama individu secara tidak sah ke dalam sistem untuk mendapatkan gelaran berkenaan.
Bagaimanapun, kegiatan tersebut terbongkar selepas seorang lagi kakitangan SUK Pahang yang ditugaskan menguruskan hal berkaitan menyedarinya.
“Sejurus itu, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan mendapati suspek dipercayai menyalahgunakan nombor pengenalan yang dibekalkan oleh pejabat untuk memasukkan data berkenaan secara tidak sah atau tanpa kebenaran pihak atasan ke dalam sistem tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli berkata dua suspek itu dipercayai bekerjasama dengan beberapa ejen untuk menawarkan gelaran Datuk dan Datuk Seri kepada individu di Kuala Lumpur dan Selangor dengan bayaran antara RM80,000 hingga RM150,000.
“Selain dua suspek terbabit, kesemua 29 individu terbabit yang berusia antara 40 hingga 60 tahun juga telah disiasat bagi membantu siasatan.
“Polis mendapati seramai 15 individu menerima gelaran Datuk dan selebihnya menerima gelaran Datuk Seri secara tidak sah. Sebahagaian daripada kalung, pingat dan lambang darjah kebesaran negeri Pahang turut dirampas,” katanya. – BERNAMA