HomeNiagaFish Tales 2023 Cup mampu raih RM5.6 juta dalam tiga hari

Fish Tales 2023 Cup mampu raih RM5.6 juta dalam tiga hari

AMPANG: Acara tahunan, Fish Tales 2023 Cup – The Global Chinese Pro Challenge dijangka mampu meraih kutipan berjumlah RM5.6 juta dalam masa tiga hari di Rompin, Pahang.

Program tahunan yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 Ogos 2023 itu, sebelum ini menjadi tarikan pelancong China ketika berkunjung ke Malaysia.

Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udani berkata, perkara itu berdasarkan rekod pada tahun 2019 iaitu sebelum pintu negara ditutup kepada pelancong asing termasuk dari negara China.

“Jumlah itu berdasarkan kutipan pakej bagi seorang peserta iaitu RM11,250 untuk menyertai program memancing bersama keluarga.

“Dengan anggaran seramai 500 peserta akan bersama pada program ini, jumlah kutipan pakej dijangka mencecah RM5.6 juta dalam tempoh tiga hari.

“Ia tidak termasuk perbelanjaan tiket pelancong, penginapan, hotel dan pembelian produk tempatan sepanjang tempoh mereka di sini.

“China amat penting bagi ekonomi di Malaysia tambah pula pada tahun 2019, negara telah menerima hampir 3 juta pelancong dari China.

“Justeru, MITA sentiasa menggalakkan para ahli untuk menganjurkan program yang boleh menarik pelancong China ke Malaysia,” katanya pada sidang media Persediaan Industri Pelancongan Malaysia dengan Kemasukan Pelancong China, hari ini.

Dalam majlis sama, turut berlangsung majlis Pelancaran ‘Fish Tales 2023 Cup’ – The Global Chinese Pro Challenge.

Uzaidi Udani (tengah), Shahrin Mokhtar (kanan) dan Kenneth Tan (kiri).

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar dan penganjur Fish Tales 2023 Cup, Kenneth Tan.

Menurut penganjur, acara berkenaan diadakan sempena penerimaan semula pelancong dari China bermula 8 Januari tahun depan.

Fish Tales 2023 turut disokong oleh Pelancongan Pahang, Persatuan Persahabatan Malaysia China, Persatuan Memancing Rompin, Resort Villea dan beberapa NGO dari China, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Sementara itu, Uzaini meluahkan kekecewaannya terhadap institusi kewangan yang sukar memberi pinjaman kepada pemain industri bagi membuat pembelian aset seperti bot supaya kuantiti peserta dalam acara ini dapat dilipatgandakan.

“Bot tidak banyak dan terhad, cukup untuk 500 orang sahaja pada satu masa.

“Kekangan kami untuk menambah bot kerana tidak dapat bantuan pinjaman dari bank yang menganggap industri ini berisiko.

“Namun, kita boleh lihat sektor pelancongan sedang pulih, ada dua hotel baharu di Ampang sudah dibuka dan ia penanda aras yang baik untuk masa depan pelancongan,” katanya.

Author

Pilihan Editor