CYBERJAYA: Tindakan Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai gerakan Pemimpin Bersatu Sabah termasuk semua wakil rakyatnya keluar daripada parti itu dianggap sebagai tidak mengenang pengorbanan parti.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, semua wakil rakyat mengambil keputusan keluar dan meninggalkan Bersatu serta akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kesal kerana Hajiji dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat di Sabah sebelum ini menang Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket Bersatu.
“Sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan sebagai Ketua Badan Perhubungan Bersatu Pahang, saya kesal tindakan dilakukan oleh teman saya di Sabah.
“Ini kerana mereka dahulunya memenangi kerusi atas nama Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tindakan itu tidak melanggar Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti kerana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum meluluskan akta terbabit.
Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut menzahirkan rasa kesalnya mewakili sayap pemuda parti dalam kenyataan pada Sabtu.
“Kekesalan dan kekecewaan Armada Bersatu ini lebih terasa apabila mengenangkan segala kudrat dan pengorbanan jentera-jentera Armada Bersatu dan Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang bertungkus-lumus memenangkan PN pada PRN Sabah yang lalu.
“Tindakan Datuk Seri Hajiji ini juga dilihat sebagai tidak mengenang segenap kesungguhan dan pengorbanan Presiden dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah sedaya upaya membantu beliau untuk memenangi PRN Sabah dan seterusnya mengangkat beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal juga membidas kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun yang disifatkan sebagai dangkal kerana mengaitkan PN sebagai parti yang mempromosi politik ekstremis Islam semata-mata.
“Datuk Seri Masidi Manjun sebagai seorang tokoh dan pemimpin yang beragama Islam adalah disarankan untuk merujuk semula kepada Fasal 6 dalam perlembagaan Bersatu dan Fasal 5 dalam perlembagaan PN.
“Jelas sekali tujuan Bersatu dan PN ditubuhkan, sama sekali tidak akan bertindak untuk mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni,” jelasnya.
Bersatu difahamkan masih wujud di Sabah kerana terdapat Ahli Parlimen dan pimpinannya yang akan meneruskan kewujudan perjuangan parti itu di negeri terbabit, kata Saifuddin.
Wan Ahmad Fayhsal pula yakin masih ada sahabat-sahabat seperjuangan Armada di Sabah yang kekal setia bersama Bersatu sambil menjamin mereka akan membina semula Bersatu di Sabah.