HomeBeritaViralHampir seminggu ayah hilang di Tanah Suci, anak cadang bangunkan gelang GPS

Hampir seminggu ayah hilang di Tanah Suci, anak cadang bangunkan gelang GPS

CYBERJAYA: Kehilangan seorang insan yang dikasihi meskipun seketika waktu pasti memberi kebimbangan pada seseorang.

Itulah yang dialami sebuah keluarga apabila si bapa, Ibrahim Omar, dilaporkan hilang ketika menunaikan ibadah umrah di kota Makkah.

Perkara itu dikongsi si anak, Shila Ibrahim menerusi hantaranya dalam sebuah grup di Facebook berhubung kehilangan ayahnya itu.

Menurutnya, hampir seminggu ayahnya masih tidak dapat ditemui di Tanah Suci berkenaan.

Difahamkan Ibrahim menunaikan umrah bersama dengan isterinya namun, si isteri terpaksa berangkat pulang ke Malaysia terlebih dahulu memandangkan sudah tiba waktu jemaah pulang ke tanah air.

“Ayah saya masih belum dijumpai selepas genap seminggu berlalu, mak dah balik tanah air tanpa ayah. Pergi berdua balik seorang.  Allahurabbi hati sedih mengenangkan apa yang berlaku,” tulis Shila.

Rentetan kejadian itu, Shila mencadangkan pihak berkaitan dapat membangunkan gelang GPS bagi kegunaan jemaah umrah dan haji.

Cadangan itu diutarakan Shila berikutan ayahnya tidak dapat ditemui meskipun sudah cuba dijejaki menerusi GPS pada telefon namun, proses pencarian tentunya menjadi sukar apabila telefon sudah tidak berfungsi akibat kehabisan bateri.

“Dalam kes ayah saya, charger handphone tertinggal di hotel, dalam tiga hari mungkin phone boleh mampu tapi jika sampai seminggu mana lagi yang dapat kita kesan.

“Gelang GPS yang saya cadangkan boleh guna bateri yang jangka hayat lama berbanding handphone.

“Ketua mutawif yang membawa boleh detect jarak, lokasi, jalan jemaah. Harap agensi berkaitan ambil inisiatif ini untuk bantu para jemaah sebab kebanyakan pergi adalah pertama kali, usia yang tak berapa muda. Tidak semua mampu pergi pada masa muda disebabkan oleh komitmen,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shila sekeluarga menzahirkan ucapan terima kasih kepada agensi yang membawa jemaah umrah serta beberapa mutawif yang sudi membantu mereka sekeluarga meneruskan usaha pencarian ayahnya.

“Saya baca semua posting dan komen sebelumnya cuma saya baru munculkan bagi memudahkan urusan pencarian, kami sekeluarga hanya berhubung dengan TA (travel agensi) dan beberapa mutawif yang dengan sukarela membantu.

“Terima kasih diucapkan, jasa kalian tak mampu saya balas. Proses pencarian masih diteruskan, Alhamdulillah terima kasih tak terhingga dari kami sekeluarga,” tulisnya.

Author

Pilihan Editor