HomeBeritaImpak ekonomi Kerajaan Perpaduan hanya boleh dilihat selepas Belanjawan 2023 diluluskan

Impak ekonomi Kerajaan Perpaduan hanya boleh dilihat selepas Belanjawan 2023 diluluskan

CYBERJAYA: Menjelang ambang tahun baharu 2023, pastinya ramai yang mengharapkan ekonomi negara akan semakin bertambah baik di bawah Kerajaan Perpaduan yang baru sahaja berusia dua bulan ini.

Walau bagaimanapun, Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, masih terlalu awal untuk mengulas mengenai impak ekonomi kerajaan baharu ini memandangkan dasar-dasarnya di peringkat nasional juga masih belum ada.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, dasar-dasar sedia ada pun sudah cukup untuk memastikan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) itu dapat dicapai objektifnya.

“Jadi apa yang kita lihat sejak kebelakangan ini adalah penambahbaikan ke atas dasar sedia ada dan juga inisiatif-inisiatif menteri di setiap kementerian.

“Kalau kita nak sebut pelaksanaan dasar yang betul-betul memberi impak, mungkin apabila Belanjawan 2023 itu akan dibentangkan pada Februari 2023.

“Sebab di situ, ia akan melibatkan peruntukan yang akan diluluskan dalam Parlimen yang akan melibatkan peruntukan keseluruhan untuk melaksanakan inisiatif bagi sepanjang tahun.

“Apa yang kita lihat sekarang ini hanya yang boleh dilaksanakan melalui peruntukan sedia ada dan ada juga yang tidak memerlukan peruntukan pun, dan ianya lebih bersifat inisiatif menteri dan setiap kementerian termasuk perdana menteri,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat untuk melihat dasar-dasar yang memberi impak di bawah Kerajaan Perpaduan ini seeloknya dilihat pada 2023 apabila Belanjawan 2023 dibentangkan dan diluluskan.

“Kemudian kita boleh memantau setiap polisi atau pun dasar baharu yang dilancarkan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Jadi saya melihat setiap insiatif yang diumumkan sejak kebelakangan ini memang ianya lebih berfokus kepada golongan-golongan yang tertentu yang memerlukan bantuan atau inisiatif pun inisiatif segera,” ulasnya lagi.

Impak Positif Perdana Menteri Baharu

Pakar Ekonomi, Professor Emeritus Dr Barjoyai Bardai turut berpendapat adalah terlalu awal untuk memberi komen mengenai impak ekonomi negara di bawah kerajaan baharu ini.

Professor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Namun, Profesor dan Pengarah Program ‘MBA in Global Islamic Finance’ Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) itu mengetengahkan kemunculan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa kesan positif ke atas negara.

“Kerajaan baharu ini terlalu muda, terlalu awal untuk kita memberi komen, tetapi saya melihat, misalnya kita mendapat perdana menteri yang sangat proaktif dan dilihat berwibawa.

“Ini memberikan banyak kesan positif ke atas penduduk dan isi rumah dan juga kepada penganalisa-penganalisa dan pemimpin-pemimpin luar negara, jadi, harapan semua pihak sangat tinggi terhadap perdana menteri ini.

“Belia membuat banyak reaksi ke atas banyak perkara dan semuanya dilihat positif dan bersesuaian dengan apa yang mereka harapkan,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini kita belum melihat kesan rantaian selepas itu, seperti menteri-menterinya, pegawai-pegawai kerajaan, kementerian-kementerian yang belum lagi menunjukkan reaksi dalam bentuk tindakan positif.

“Yang kita sudah dengar tindakan positif yang pertama dibuat ialah cuba membawa telur import, tetapi itu pun belum ada lagi kesan dalam pasaran, misalnya.

“Jadi, kita masih mengharapkan sesuatu yang lebih konkrit. Mungkin kita tidak boleh mengharapkan sesuatu yang lebih konkrit selagi Belanjawan 2023 tidak lagi diumumkan.

“Walaupun Belanjawan Mini sudah diumumkan dengan beberapa inisiatif, tetapi itu pun hanya akan dilaksanakan mulai Januari 2023, misalnya bantuan kepada isi rumah, program untuk belia menganggur dan sebagainya,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor