KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) akan mengadakan perjumpaan khas dengan pemain industri telur ayam dan minyak masak peket esok.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perjumpaan itu bertujuan mengenal pasti situasi sebenar dan mendapatkan maklumat terkini berhubung bekalan kedua-dua barangan tersebut.
“Saya akan bertemu dengan pemain industri minyak sawit seperti Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) dan Sime Darby serta lain-lain pada petang esok untuk membincangkan tentang isu bekalan ini kerana perkara tersebut penting untuk saya dengar sendiri.
“Perjumpaan dengan pemain industri telur ayam pula mungkin pada hari berikutnya supaya saya dapat data dan perbincangan yang cepat,” katanya selepas membuat tinjauan bekalan dan harga barangan keperluan di NSK Trade City, Kuchai Lama, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, hasil daripada perjumpaan tersebut akan meningkatkan hubungan kementerian bersama pemain industri sekali gus menyelesaikan isu yang berbangkit termasuk melihat usaha menurunkan harga barangan tersebut.
“Selama ini pun saya mendengar tentang isu yang menjadi rungutan rakyat dan hari ini saya menyaksikan sendiri, paling tidak ada dua isu besar yang saya mesti hadapi bersama dengan pasukan kementerian iaitu ketidakcukupan bekalan telur dan minyak masak peket,” katanya. – BERNAMA