GUA MUSANG: Penduduk orang asli di Kelantan tidak perlu gusar berikutan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terus mengagihkan bantuan Bakul Makanan kepada keseluruhan kampung yang terjejas akses keperluan harian akibat tanah runtuh di Pos Balar dan Pos Belatim.
Bakul Makanan itu meliputi makanan harian yang dihantar itu seperti beras, gula, tepung gandum, telur, gula, serbuk teh dan beras.
Penghantaran Bakul Makanan itu akan dibekalkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bergantung keadaan cuaca dan keadaan semasa, menggunakan kenderaan darat atau laluan udara.
Menurut kenyataan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, JAKOA Kelantan dan JAKOA Terengganu dengan kerjasama NADMA, dan kerajaan negeri Kelantan akan melaksanakan pengangihan Bakul Makanan Fasa 2, dalam tempoh tiga minggu lagi.
Setakat ini, pihak JAKOA, Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menghantar lebih 1,100 unit Bakul Makanan di enam kampung orang asli di Gua Musang bermula dari 25 hingga 29 Disember 2022.
Menurut kenyataan itu juga, sejumlah 417 unit Bakul Makanan masing-masing dihantar di dua lokasi iaitu Pos Gob dan Pos Simpor, pada 25 dan 26 Disember.
Seterusnya pada 358 unit ke Pos Belatim, Kampung Sau, Kampung Ladoi dan sebahagian di Pos Balar, pada 27 Disember.
Pada hari keempat, sebanyak 347 unit lagi ke kampung Bihai Lama, Kampung Sau, Kampung Ladoi dan Pos Balar.
“Penghantaran Bakul Makanan ini dilaksanakan melalui penggunaan tiga pesawat Unit Udara JBPM membabitkan 46 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi,” demikian kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, keperluan penghantaran Bakul Makanan ada dalam perancangan awal namun tidak dapat diteruskan berikutan penggunaan helikopter digunakan ke kawasan terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu, baru-baru ini.
Katanya, kenderaan darat bagaimanapun juga tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan jalan teruk dan runtuhan tanah antara Pos Balar dan Pos Belatim berhampiran Kampung Dakoh.
“Bagi urusan itu, pihak JAKOA telah berbincang dan bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (JKR Kesedar) untuk kerja-kerja pembersihan runtuhan serta pembaikan cerun.
“Namun kerja-kerja di lapangan mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan keadaan jalan yang teruk serta cuaca yang masih buruk yang menyukarkan jentera berat untuk masuk dan sampai ke lokasi kejadian,” katanya.