CYBERJAYA: Penyanyi terkenal, Jamal Abdillah mengumumkan menarik diri daripada menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN).
Jamal menarik diri dikatakan kerana beliau merasakan faktor dunia politik dilihat tidak sesuai dengan prinsip dirinya sebagai penghibur.
Menurutnya, ramai juga peminat menyuarakan pandangan mengenai perkara tersebut dan berharap agar beliau menarik diri daripada terlibat dalam politik.
“Saya dengan rasa rendah diri ingin menarik diri dan politik tidak sesuai dengan prinsip saya sebagai penghibur.
“Saya menginginkan semua orang menyukai saya yang mana, peminat saya juga berada dalam parti-parti politik, sedangkan ramai meminta saya menarik diri.
“Keluarga, sahabat dan peminat-peminat mohon saya melakukan itu. Saya pun berpendapat lebih baik saya neutral dan kalau ingin melontarkan pandangan, biarlah dengan cara yang tersendiri,” katanya, lapor sebuah portal berita pada Ahad.
Untuk rekod, Jamal merupakan antara 30 individu yang diumumkan Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa pada Khamis menyertai dan dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN, selain pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Ummi Nazeera.