KUALA LUMPUR: Berikut penafian berita tular di media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), hari ini.
PRP, menerusi satu kenyataan memaklumkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan kesahihan informasi berhubung ‘Bantuan Warga Emas RM500 Bagi Tahun 2023’ seperti yang tular di media sosial.
Menurut PRP, JKM menasihatkan agar orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat mengenai bantuan JKM menerusi laman portal rasmi di www.jkm.gov.my sahaja.
“Masyarakat turut disaran agar tidak mudah terpengaruh dan berkongsi maklumat yang tidak diketahui kesahihannya sebaliknya sentiasa membuat semakan awal dengan merujuk laman sesawang atau media sosial rasmi kementerian, jabatan atau agensi untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA