HomeBeritaKPDNKSH Selangor giat pantau bekalan ayam, telur dan minyak masak peket

KPDNKSH Selangor giat pantau bekalan ayam, telur dan minyak masak peket

BATU CAVES: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Selangor giat menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara harian terhadap harga dan keberadaan bekalan barangan keperluan asas pengguna di setiap rantaian pengedaran di Selangor.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKSH Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, fokus pemeriksaan tertumpu lebih kepada ayam, telur ayam dan minyak masak peket 1 kilogram.

Menurutnya, operasi dijalankan dengan kapasiti 195 Penguat Kuasa KPDNKSH Selangor serta 67 Pegawai Pemantau Harga (PPH), di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) melalui mekanisme kawalan yang dikuatkuasakan melalui perundangan antipencatutan.

“Pemeriksaan hari ini melibatkan dua peringkat rantaian yang diperiksa iaitu peruncit (pasaraya) dan pengeluar atau pembekal (premis penyimpanan atau pengumpulan telur ayam).

“Pemeriksaan di peringkat peruncit, iaitu sebuah sebuah pasar raya terletak di Selayang, Gombak, Selangor memfokuskan kepada keberadaan bekalan dan pematuhan harga kawalan bagi tiga barangan utama iaitu ayam standard, telur ayam dan minyak masak peket 1 kilogram.

“Pemeriksaan terhadap tempat simpanan bekalan barangan terlibat turut dilaksanakan bagi mengesahkan secara fizikal keberadaan bekalan, jumlah sebenar bekalan dan mengesan unsur perlakuan sorok bekalan.

“Hasil pemeriksaan di premis pasaraya didapati bekalan secara fizikal ada dalam keadaan baik, jumlah bekalan berdasarkan rekod yang dirujuk semasa pemeriksaan dianggarkan berupaya memenuhi keperluan pelanggan untuk hari yang sama dan tidak ada unsur perlakuan sorok bekalan dikesan,” katanya pada Isnin.

Tambahnya, premis juga didapati mematuhi penetapan harga maksimum runcit bagi barangan ayam, telur ayam dan minyak masak peket 1 kilogram.

KPDNKSH Selangor turut melanjutkan pemeriksaan yang lebih spesifik melibatkan peringkat pengeluar atau pembekal telur ayam iaitu di sebuah premis pengumpulan telur ayam di sekitar Kuala Garing, Rawang.

Author

Pilihan Editor