HomeGlobalLetak jawatan CEO Twitter, Musk tinjau pendapat netizen

Letak jawatan CEO Twitter, Musk tinjau pendapat netizen

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) pembuat kereta elektrik Tesla, Elon Musk bertanyakan kepada warga maya di Twitter sama ada perlu atau tidak beliau meletak jawatan sebagai CEO Twitter.

Musk membuat ciapan tinjauan pendapat di Twitter bertanyakan pandangan pengguna platform media sosial itu berhubung peletakan jawatannya.

“Perlukah saya berundur sebagai ketua Twitter? Saya akan mematuhi keputusan tinjauan pendapat ini,” kata Musk dalam ciapan pada Ahad.

Setakat laporan ini ditulis, seramai 11,064,305 pengguna Twitter mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut dengan 56.3 peratus menyokong peletakan jawatan Musk itu, manakala 43.7 peratus tidak menyokong keputusan itu.

Musk juga sempat berkongsi peringatan mengenai tinjauan tersebut kepada pengguna Twitter dalam satu ciapan pada hari yang sama.

“Seperti kata pepatah, berhati-hati dengan apa yang anda hajatkan, kerana anda mungkin memperolehinya,” katanya.

Untuk rekod, Musk sah menjadi pemilik baharu aplikasi Twitter selepas melengkapkan pemerolehannya yang bernilai AS$44 bilion pada akhir Oktober.

Susulan menjadi CEO Twitter, Musk merombak operasi harian syarikat, termasuk menamatkan perkhidmatan separuh pekerjanya dan eksekutif Twitter yang bertanggungjawab ke atas privasi, keselamatan siber dan penapisan platform berkenaan.

Musk juga pernah mengumumkan bahawa undian akan dilakukan bagi menentukan perubahan dasar utama sebelum membuat tinjauan pendapat tersebut di Twitter.

Author

Pilihan Editor