HomeBeritaLinda Rafar mengaku tak bersalah fitnah jururawat

Linda Rafar mengaku tak bersalah fitnah jururawat

SHAH ALAM: Selebriti, Azlinda Rafar atau lebih dikenali sebagai Linda Rafar mengaku tidak bersalah atas dakwaan membuat kenyataan fitnah mengenai layanan buruk sekumpulan jururawat.

Pihak Linda iaitu firma pengurusan krisis, Saiful Ridzuan Media Relations berkata, dalam satu kenyataan, perbicaraan kes saman fitnah di antara selebriti Linda Rafar dan ‘Delegation of Nurses’ (DON) bermula pada hari ini.

Menurutnya, Linda telah dinamakan oleh DON sebagai defendan pertama serta sebuah syarikat penerbitan media cetak dan elektronik yang terletak di Kuala Lumpur sebagai defendan kedua.

“Linda disaman individu yang mendakwa beliau adalah Presiden DON, selaku plaintif, pada Jun 2019.

“Plaintif mendakwa kenyataan yang dikatakan dibuat oleh Linda, yang diterbitkan oleh defendan kedua pada 29 Mac 2019 melalui satu artikel, adalah fitnah.

“Perbicaraan yang bermula pada pukul 9 pagi tadi akan berlangsung selama tiga hari iaitu pada Isnin, Selasa dan Rabu di Mahkamah Sesyen,” katanya.

Jelasnya, Linda telah menjawab surat tuntutan DON pada 15 Mei 2019 menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa plaintif dan seperti yang dilaporkan defendan kedua, sebelum disaman.

Tambahnya, Linda mendakwa dia menjadi mangsa kempen fitnah yang dilakukan melalui pembulian siber bertujuan menyebarkan pembohongan dan untuk memusnahkan kerjayanya.

“Anak guam menafikan semua dakwaan dan sebenarnya dia adalah mangsa fitnah termasuk pernah menerima ugutan bunuh oleh seorang warganet akibat daripada isu yang diviralkan,” kata peguam bela Linda, Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman ‘NHA Advocates and Solicitors’.

Untuk rekod, sebelum ini media melaporkan Linda meluahkan rasa kecewa terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat di sebuah hospital di Shah Alam tempat ibunya, Rasimah Abd Rahman dirawat.

Linda memuat naik statusnya di Instagram Story pada 27 September 2018 menyatakan permintaan untuk membantu menukar cadar ibunya yang terkena najis tidak diendahkan dari jam 3 pagi hingga 1.30 petang.

Author

Pilihan Editor