ANKARA: Bintang bola sepak Lionel Messi sekali lagi akan menjejakkan kaki ke peringkat akhir Piala Dunia FIFA pada Ahad dalam misi memburu kejuaraan, selepas memperoleh pingat perak bersama Argentina pada 2014.
Argentina dijadual menentang juara bertahan Perancis di Stadium Lusail, Qatar pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.
Qatar mungkin menjadi pentas terakhir untuk Messi yang kini berusia 35 tahun, dengan kejohanan Piala Dunia seterusnya dijadualkan pada 2026.
Pemenang anugerah Ballon d’Or tujuh kali itu telah memenangi setiap trofi utama bersama pasukan Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG).
Messi membantu Argentina memenangi trofi Copa America pada 2021 ketika bersama pasukan kebangsaan. Kejohanan itu adalah kejohanan bola sepak terunggul untuk pasukan kebangsaan Amerika Selatan.
Messi telah bermain untuk Argentina sejak 2005 dan menjaringkan 96 gol dalam 171 penampilan di peringkat antarabangsa.
Perlawanan akhir 2022 akan menyaksikan pertembungan antara rakan sepasukan PSG, Messi dan Kylian Mbappe.
Argentina, antara pasukan gergasi bola sepak Amerika Selatan memenangi dua kejohanan Piala Dunia pada 1978 dan 1986. – BERNAMA