CYBERJAYA: Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di Semenanjung pada 1 Januari ini dalam keadaan baik.
Menerusi satu kenyataan media, MetMalaysia menyatakan hanya beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak yang dijangka mengalami ribut petir dan hujan.
“Ramalan cuaca tahun baru 2023, 1 Januari pada pagi ribut petir atau hujan di satu dua tempat di Sabah (Sandakan dan Tawau). Tempat-tempat lain tiada hujan.
“Di sebelah petang pula, ribut petir atau hujan di satu dua tempat di Sabah (Kudat, Pantai Barat, Pendalaman, Sandakan dan Tawau) manakala di Sarawak (Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Kapit dan Miri). Tempat- tempat lain tiada hujan.
“Pada sebelah malam, dijangkakan ribut petir atau hujan di satu dua tempat di Sabah (Pantai Barat dan Pedalaman), WP Labuan dan Sarawak (Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang). Tempat- tempat lain tiada hujan,” lapor MetMalaysia.
Pada masa sama, MetMalaysia turut menyatakan bahawa angin kencang timur laut turut dijangka memasuki rantau negara mulai hari ini.
Kemasukan angin berkenaan dijangka menyebabkan berlakunya tiupan angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan.
“Sehubungan dengan itu, MetMalaysia telah mengemaskini Amaran Hujan Berterusan melibatkan negeri Sarawak berkuat-kuasa pada 30 hingga 31 Disember 2022.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan turut dikuat kuasa sehingga 5 Januari 2023.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya.